"DALAM LEMBUT BERSENI ADA KERAS TAK TERPERI, DALAM KERASNYA PULA ADA LEMBUT BERSENI, PETANDA SOPAN SANTUN BANGSA BERBUDI"

Sabtu, 12 November 2016

PERTANDINGAN KOLEKSI KERIS CANTIK TERBUKA SEMENANJUNG 26 MAC 2016

Alhamdulillah hi rabbil alamin. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, kerna dengan limpah kurnianya, diberikan kesempatan kepada hamba untuk berkongsi sedikit sebanyak dapatan daripada lawatan hamba ke Pertandingan Koleksi Keris Cantik Terbuka Semenanjung yang diadakan pada 26 Mac 2016 yang lalu.

Telah begitu lama hamba merancang untuk menulis post ini, namun apakan daya, pelbagai urusan kerja datang menyapa.

Berikut hamba kongsikan sedikit sebanyak video-video dan gambar-gambar yang sempat hamba rakamkan sepanjang program tersebut.

BILA, DI MANA?

Pertandingan tersebut telah diadakan pada 26 Mac 2016, hari Sabtu, bermula sekitar 8.30 pagi.

Bertempat di perkarangan Muzium Istiadat DiRaja Kelantan, atau dikenali sebagai Istana Jahar, Kota Bharu, Kelantan.

Pertandingan ini bolehlah dikatakan sebagai acara kemuncak sempena Pameran Senjata Cantik & Batu Permata Adat Melayu Kelantan yang diadakan di Istana Jahar bermula 12 Mac 2016 hingga 12 April 2016.

Bunting Pameran Senjata Cantik & Batu Permata Adat Melayu Kelantan yang menyambut kedatangan para pengunjung di hadapan pintu masuk Istana Jahar
Keindahan seni bina Muzium Istiadat DiRaja Kelantan (Istana Jahar)

Poster rasmi acara (sumber daripada Facebook Muzium Kelantan  https://www.facebook.com/muziumkelantan/?hc_ref=PAGES_TIMELINE)



KOLEKSI GAMBAR SEPANJANG ACARA













Fuhh.....meleleh air liur hamba melihatkan keanggunan dan begitu elegannya koleksi-koleksi keris yang dipertandingkan. Juga kelihatan beberapa bilah keris tajong. Mampu tengok sahajalah.....

FORUM SENJATA CANTIK: KERIS TAJONG

Turut menyerikan program pada hari tersebut ialah sesi perkongsian ilmu menerusi forum bertajuk Keris Tajong. Dipengerusikan oleh Encik Mohamed Safarudin Ismail dan dipanelkan oleh Puan Hajah Rosnawati Binti Othman (Pengarah Akademi Nik Rasyiddin) dan Encik Norhaiza Noordin (Adiguru Kraf Ukiran).

Banyak yang dikongsikan berkenaan kehalusan, kesenian dan keistimewaan kehalusan seni ukiran pada hulu keris, khasnya pada hulu keris tajong.

Syabas diucapkan kepada penganjur, termasuk pihak Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan Persatuan Seni Purba & Kraftangan Negeri Kelantan. Semoga yang sama dapat diteruskan oleh ramai lagi pihak, bagi membudaya dan memasyarakatkan keris di negara kita ini.

Wallahualam.



Jumaat, 13 Mei 2016

PENGERTIAN KERIS MENURUT SUMBER KELANTAN

Assalamualaikum wbt.

Tujuan post pada kali ini ialah untuk hamba berkongsi sedikit berkenaan makna di sebalik nama keris, menurut sumber-sumber dari Kelantan, daripada buku-buku berkaitan keris koleksi hamba sendiri.

Sumber yang hamba petik untuk tujuan post kali ini ialah seperti berikut:



Zakaria B. Abdullah, "Rahsia Keris dan Senjata Warisan Melayu". D Warisan Darul Naim dengan kerjasama Persatuan Senipurba dan Kraftangan Kelantan (cetakan pertama 2007)


Emil Bahari, "Semangat Keris Melayu: Menjawab Persoalan Ada Apa Dengan Keris?". Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (terbitan pertama 2009)


MENURUT BUKU RAHSIA KERIS DAN SENJATA WARISAN MELAYU


Pada permulaan buku ini, disertakan sebuah gambarajah yang menunjukkan beberapa siri maksud tersirat di sebalik empat huruf jawi yang membentuk perkataan keris (Kaf, Ra, Ya dan Sin). Sila rujuk gambar di bawah.


Berdasarkan gambarajah di atas, terdapat enam rangkap kenyataan yang boleh dibentuk berdasarkan empat huruf diatas, yakni:

1. Kuasa Raja Yang Sejagat
2. Kebanggaan Rakyat Yang Setia
3. Kemuliaan Raja Yang Susila
4. Keamanan Rakyat Yang Sejahtera
5. Kekuatan Raja Yang Sakti
6. Ketahanan Rakyat Yang Sepadu

Rangkap-rangkap ini, pada tafsiran hamba, menunjukkan kegunaan keris dan signifikannya kepada orang Melayu, yang antara lainnya menjadi lambang dan simbol kuasa, kemuliaan dan kekuatan serta kedaulatan raja pemerintah. Manatakan tidak, bukan calang-calang tukang yang boleh menghasilkan ukiran dan hasil pertukangan bermutu tinggi dan unik yang ada pada keris dan juga bukan calang-calang orang yang mampu memiliki dan mengarahkan penghasilannya oleh tukang tersebut.
Ini ialah antara nilai-nilai tambahan yang ada pada keris selain daripada digunakan sebagai senjata dan alat mempertahankan diri, seterusnya meletakkan keris pada tempat yang istimewa di hati orang Melayu dan menjadikan ia warisan bangsa kebanggaan mereka.

Namun, tidak dinyatakan secara spesifik di dalam buku tersebut dari mana konsep di atas diambil. Mungkin sahaja konsep ini telah lama difahami dan disimpan oleh orang-orang Melayu terdahulu di Negeri Kelantan, khususnya. Tambahan pula memang diakui oleh penulis sendiri bahawa bahan-bahan dan informasi yang terdapat dalam bukunya adalah daripada pandangan pencinta keris Malaysia amnya dan Kelantan khasnya.

Tidak diketahui pula oleh hamba akan konsep yang sama atau sepadan daripada negeri-negeri lain mahupun tempat-tempat lain di nusantara, setakat ilmu hasil bacaan hamba setakat ini.

Suka juga untuk hamba kongsikan bahawa gambarajah yang sama boleh didapati di balai senjata Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan (Istana Jahar), Kota Bharu, Kelantan. Hamba berkesempatan melawat ke sana ketika menghadiri Pertandingann Senjata Cantik di Istana Jahar pada 26 Mac 2016 yang lalu.  


Diagram tentang pengertian perkataan keris seperti yang terdapat di balai senjata Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan (Istana Jahar), Kota Bharu


Poster promosi Pameran Senjata Cantik & Batu Permata Adat Melayu Kelantan di luar pintu pagar Istana Jahar semasa lawatan hamba ke sana pada 26 Mac 2016


Keindahan senibina Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan (Istana Jahar), Kota Bharu

MENURUT BUKU SEMANGAT KERIS MELAYU


Memetik kata-kata penulis buku Semangat Keris Melayu, sejarah lisan dari negeri Kelantan memberikan perkataan keris itu membawa maksud "Keramat, Rahsia, Yang, Satu", yang terbentuk daripada empat huruf jawi Kaf, Ra, Ya dan Sin yang membentuk perkataan 'keris'.

Menurut penulis, maksud "Keramat, Rahsia, Yang dan Satu" itu bolehlah dihurai seperti berikut:

Keramat
Kemuliaan yang dianugerahkan Allah SWT kepada hambaNya yang suci dan yang membawa kepada kebaikan. Juga membawa maksud kemuliaan yang diberikan kepada keris oleh bangsa Melayu.

Rahsia
Pada keris itu terdapat rahsia-rahsia yang berupa simbol atau perlambangan serta falsafah yang tersembunyi.

Yang Satu
Pada keris itu terdapat tanda-tanda dan perlambangan yang boleh mengingatkan kita kepada Tuhan Yang Maha Esa.


Sesungguhnya, berdasarkan dua buah buku ini sahaja, dapat kita lihat bahawa keris itu pada diri seorang Melayu bukanlah semata-mata sebuah senjata untuk membunuh atau mempertahankan diri, tetapi juga menjadi lambang jati diri dan identiti seorang Melayu, manifestasi ketinggian ilmu falsafah dan perlambangan mereka, sebagai simbol status dan pengenalan diri serta sebuah karya seni warisan turun temurun yang harus diletakkan ditempat yang sewajarnya. 

Harapan kita semua agar warisan kita ini dikenali, dihargai dan diteruskan oleh generasi akan datang, dan bukannya menjadi satu tabu atau ketakutan mereka yang hanya memandang kepada sudut mistik sesetengah keris yang dimiliki individu tertentu sahaja.

Wallahualam. 

Selasa, 26 Januari 2016

KERIS TEMPAHAN PERTAMA


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. 

Pos kali ini merupakan kesinambungan pos pada minggu lepas berkenaan lawatan hamba dan ayahanda ke bengkel pertukangan keris Encik Abdul Mazin Bin Abdul Majid (lebih mesra dengan panggilan Pak Mazin) di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak pada 9 Mei 2015. Jemput lihat pautan berikut untuk maklumat lebih lanjut:<http://keriswarisanbangsa.blogspot.my/2016/01/lawatan-ke-bengkel-pak-mazin.html>
Alhamdulillah akhirnya, setelah menunggu hampir 8 bulan, maka telah sempurna siaplah keris yang ditempah daripada Pak Mazin itu pada 18 Disember 2015. Sebenarnya, kerja-kerja pembuatan keris ini hanya dapat dimulakan pada 1 November 2015 (masa pembuatan adalah lebih kurang 48 hari), memandangkan terdapat beberapa buah tempahan yang perlu diselesaikan dan diberi keutamaan oleh Pak Mazin.

Inilah hasilnya.................







Tidak hamba sangka beg kuning juga diberikan secara percuma dengan tempahan

Memandangkan keris berlok lima ini asal lahirnya ialah dari Kampung Pandang Changkat yang letaknya di lereng Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan oleh kerana keindahan seni penempaan besi serta kerja kayunya bak sekuntum bunga yang mekar (dalam bahasa Sanskrit, Sari bermaksud bunga), maka telah hamba namakan keris ini dengan nama

KERIS CHANDAN SARI BERLOK LIMA

BUTIR-BUTIR TERPERINCI


Berdasarkan temubual dan perbincangan antara hamba dan Pak Mazin serta beberapa rujukan yang dibuat terhadap buku-buku keris koleksi peribadi serta ilmu sedia ada yang masih lagi setahun jagung, berikut ialah beberapa butir-butir tentang bahagian-bahagian keris tersebut:

Nama                     : Keris Chandan Sari Berlok Lima
Empu                     : Encik Abdul Mazin Bin Abdul Jamil (Pak Mazin)
Tarikh ditempah    : 9 Mei 2015
Tarikh mula dibuat: 1 November 2015
Tarikh siap             : 18 Disember 2015 (48 hari dari tarikh mula dibuat)
Tarikh diambil       : 19 Disember 2015

BILAH

Panjang: 14 inchi (dari bawah ganja ke hujung keris)
Jumlah lok: 5
Bentuk dapor: Taming Sari (sepertimana Keris Taming Sari, alat kebesaran DYMM Paduka Seri Sultan Perak). Berdasarkan buku Mata Keris Dan Bentuknya cetakan pertama 2006 terbitan Jabatan Muzium Malaysia dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, karya Dato' Shahrum Yub, dapor ini dikenali dengan nama Pendawa Cinarita. 

Antara ricikan (ciri-ciri pada pangkal bilah keris) dapor ini ialah: picitan, belalai gajah, lambe (bibir) gajah, tikel alis (kening), sepasang sogokan (parit), sraweyan, aring dan tulang keris yang jelas. 

Jemput lihat pautan berikut untuk maklumat lanjut tentang ricikan di atas <Anatomi Keris>
                        
Bahan Mata:   Besi 7 "Pa" disepuh. Jemput lihat pautan berikut untuk maklumat lanjut tentang besi 7 "Pa" <http://keriswarisanbangsa.blogspot.my/2016/01/lawatan-ke-bengkel-pak-mazin.html>

Pamor         :   Pucuk rebung, beras tumpah (wos wutah) dan kurai. 

Inilah pertama kali hamba dengar istilah pamor kurai. Carian di internet serta semakan dalam buku Mata Keris Dan Bentuknya cetakan pertama 2006 terbitan Jabatan Muzium Malaysia dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, karya Dato' Shahrum Yub serta buku Rahsia Keris dan Senjata Warisan Melayu cetakan pertama 2007 terbitan D Warisan Darul Naim karya Zakaria B. Abdullah tidak ditemukan istilah sedemikian.

Namun, semakan terhadap Kamus Dewan Edisi Ketiga 2000 membuahkan hasil:
Kurai: urat atau garis-garis pada kayu (batu marmar dll.), corak (gambar, barik-barik) pada bilah keris dll. yang berpamor.

Maka, hamba berpendapat pamor yang dikenali sebagai kurai ini ialah pamor yang menyerupai garis panjang seperti urat sepanjang bilah keris Chandan Sari Berlok Lima ini (sila rujuk gambar-gambar di bawah).


Kelihatan sogokan (parit) belakang dan depan, picitan, aring, tikel alis (kening), sraweyan, belalai gajah dan lambe (bibir) gajah. Juga kelihatan pamor kurai (seperti urat memanjang pada bilah hingga hujung).


Kelihatan pamor beras tumpah (wos wutah) yang menyerupai tompok-tompok putih pada bilah.


 Kelihatan pamor kurai dan beras tumpah (wos wutah).Juga jelas kelihatan tulang keris.


Kelihatan pamor pucuk rebung (bentuk 'V' terbalik berlapis-lapis).


Pamor kurai.




Belalai gajah dan lambe (bibir) gajah.


Ganja         :   Ganja dungkul (berombak seperti huruf 'M') atau digelar oleh Pak Mazin sebagai Helang Terbang. Berpamor mas kumambang (seperti kek lapis).



Kelihatan ganja berpamor mas kumambang (seakan-akan lapisan kuih lapis).



Ganja dungkul (bentuk seperti huruf 'M') atau digelar oleh Pak Mazin sebagai Helang Terbang.
Turut kelihatan pendongkok gaya telur ikan.

HULU DAN SARUNG


Jenis hulu                :   Hulu jawa demam ayam teleng
Bahan hulu              :   Kayu kemuning emas
Jenis pendongkok   :   Gaya telur ikan
Bahan pendongkok :   Besi campur


Hulu jawa demam ayam teleng. Kelihatan seperti kepala anak ayam yang teleng sedikit ke arah kanan dan berpeluk tubuh (seakan-akan qiam dalam solat). 


Pandangan belakang. Kelihatan garuda mungkur (hiasan di belakang kostum penari Jawa).


Pandangan sisi kanan.


 Pandangan sisi kiri.


Kelihatan ukiran di sisi hulu seakan-akan bentuk kilat. Mungkin ini ialah tanda pengenalan ('trademark') sang empunya.

Jenis sampir                : Sampir gaya semenanjung bentuk sampan 
Bahan Sampir             : Kayu kemuning emas
Bahan batang serunai : Kayu surian
Janis kasut                  : Kasut bentuk raga
Bahan kasut                : Gading gajah


Sampir gaya semenanjung bentuk sampan, bahan kayu kemuning emas. 


Batang serunai bahan katu surian. Kasut bentuk raga bahan gading gajah.

Maklumat di atas adalah berdasarkan ilmu setahun jagung hamba yang masih mentah dalam bidang perkerisan ini. Amatlah hamba alu-alukan perkongsian daripada saudara dan saudari sekalian yang lebih mahir dan berpengalaman sekiranya ada kesilapan dalam penulisan ini.

Sekian sahaja buat masa ini.

Wallahualam bissawab.

          

Rabu, 20 Januari 2016


LAWATAN KE BENGKEL PAK MAZIN.....BESERTA TEMPAHAN KERIS


Alhamdulillah, setelah begitu lama blog ini terbiar tanpa sebarang catatan, telah dikurniakan semula kesempatan dan ilham kepada hamba ini oleh Allah SWT untuk mengemaskini semula laman ini dengan beberapa perkembangan terbaru berkenaan keris.

Kali ini, hamba akan berkongsi sedikit sebanyak tentang lawatan hamba bersama ayahanda ke bengkel Encik Mazin Bin Abdul Majid (atau mesra dengan panggilan Pak Mazin) pada 9 Mei 2015 yang lalu. Pak Mazin ini merupakan antara pandai besi yang terkenal dan tersohor di Malaysia ini, paling tidak dalam kalangan penggemar dan pengkaji keris, yang masih menghasilkan keris secara tradisional pada hari ini. Bukan sahaja menerima tempahan dari penggemar-penggemar dan kolektor-kolektor tempatan, Pak Mazin juga sering menerima tempahan dari luar negara, juga oleh orang-orang kenamaan, sultan dan DYMM Seri Paduka Baginda sendiri.

LOKASI BENGKEL DI KAMPUNG PADANG CHANGKAT

Bengkel ini terletak hanya bersebelahan dengan rumah Pak Mazin di alamat, No. 66, Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan, 33000 Kuala Kangsar, Perak. Untuk ke sana, perlulah menelusuri jalan di lereng Bukit Chandan menuju ke arah Istana Iskandariah, yang merupakan kediaman rasmi DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Sebaik sahaja melepasi pintu gerbang utama istana, terdapat satu simpang kecil di sebelah kiri dengan papan tanda Kampung Padang Changkat.

Dari simpang ini, kami memandu terus sahaja hingga terserempak dengan sebuah gerbang kecil yang amat menarik perhatian. Perkataan "SELAMAT DATANG" diapit oleh lukisan dua bilah keris pada gerbang, serta sebuah arca keris tidak bersarung di sebelahnya memeperlihatkan lagi begitu sinonimnya kampung ini dengan seni pembuatan keris setelah sekian lama.

(gambar ini diambil dari laman Jejak Mihrab dan Mimbar <https://jejakmihrabmimbar.wordpress.com/page/4/>. Tidak sempat pula ambil gambar gerbang ini pada hari tersebut)

Dari gerbang ini, kami teruskan lagi pemanduan kami tidak berapa jauh, sehinggalah kami sampai ke sebuah rumah di sebelah kiri jalan, dengan sebuah bengkel di sebelahnya, yang dinding luarnya dihiasi dengan mural bermotifkan keris dan beberapa senjata besi yang lain, serta papan tanda Jabatan Kraftangan Malaysia. 


PAK MAZIN, TUKANG KERIS GENERASI KE-4


Kedatangan kami disambut oleh Pak Mazin dengan begitu ramah sekali. Walaupun sibuk mengerjakan beberapa tempahan pelanggan yang telah dibuat, beliau tidak keberatan untuk melayani pertanyaan kami dan berkongsi sedikit sebanyak tentang diri beliau serta pekerjaan yang diusahakannya ini sejak beliau berumur 12 tahun lagi.

Hasil sembang-sembang santai kami, tahulah kami bahawa Pak Mazin ini merupakan generasi keempat pembuat keris berketurunan Bugis (dari Kepulauan Sulawesi), bermula dengan moyang beliau, yang dikenali sebagai Tukang Mamat. Ilmu pembuatan keris ini kemudiannya diperturunkan kepada datuk Pak Mazin, Pandak Lam, dan seterusnya kepada Abdul Jamil, bapa beliau sehinggalah kemudiannya kepada Pak Mazin sendiri.

Kami juga sempat meneliti beberapa poster dan maklumat berkenaan jenis-jenis keris, bahagian-bahagian keris dan kaedah-kaedah pembuatan keris yang tergantung di dinding bengkel pertukangan tersebut, termasuklah melihat sendiri dan memegang beberapa alat-alat pertukangan yang digunakan oleh Pak Mazin dalam pembuatan keris dan senjata-senjata besi yang lainnya. Di sini hamba titipkan beberapa gambar yang sempat kami ambil.



Kelihatan andas dan tukul, yang merupakan sebahagian daripada alat pertukangan yang digunakan oleh Pak Mazin







Menurut Pak Mazin lagi, selain daripada memenuhi jemputan beberapa pihak (termasuk universiti dan muzium) untuk memberi penerangan dan kadangkala membuat demonstrasi berkenaan seni pembuatan keris, Pak Mazin juga pernah menerima beberapa orang pelajar praktikal dari UITM yang telah meluangkan masa mereka bersama Pak Mazin untuk mempelajari teknik-teknik pembuatan keris, dari pemilihan dan penggabungan bahan-bahan besi mentah sehinggalah terhasilnya sebilah keris. Sempat juga beliau tunjukkan kepada kami laporan praktikal pelajar-pelajar tersebut. 

KERIS BESI 7 "PA"


Kami dimaklumkan bahawa Pak Mazin hanya menghasilkan keris setelah menerima tempahan daripada pelanggan, dan tidak menghasilkan keris-keris untuk tujuan komersial dan pasaran ke kedai-kedai barang antik. Keris-keris yang dihasilkan pula diperbuat daripada bahan besi 7 "Pa".

"Apa pula besi 7 "Pa" ini?" tanya hamba.

Kata Pak Mazin, besi 7 "Pa" ini maksudnya bahan-bahan besi daripada alat/senjata dengan nama berpangkal huruf jawi Pa, yakni:

Paku
Pisau
Pahat
Puting
Pencebak (loghat Kuala untuk Penyodok)
Payung 
Pagar

Kepingan besi daripada ketujuh-tujuh besi ini kemudiannya akan disusun mengikut klasifikasi tahap kekerasan besi yang boleh dibahagikan kepada 3 jenis, yakni:

1. Besi Tawar (besi lembut)
2. Besi Baja (besi keras)
3. Besi Malela (gabungan sifat Besi Tawar dan Besi Baja)

Bahan-bahan besi ini kemudiannya akan diikat dengan dawai dimasukkan ke dalam dapur pembakaran untuk dileburkan dan kemudiannya diketuk untuk disatukan menjadi seketul logam aloi.

Setelah menyatu, barulah ketulan logam aloi ini dibentuk menjadi bentuk keris yang dikehendaki (dengan loknya, atau lurus) dan kemudian barulah dicanai, diasah dan dinipiskan matanya serta diperhalusi dengan ciri-ciri khas seperti belalai gajah, kerawang, aring dan sebagainya. Bahagian ganja juga pada masa yang sama akan diperhaluskan dan dipasang pada puting mata keris.

Mata keris ini kemudian dipanaskan sekali lagi, dan serta-merta dicelup ke air. Inilah yang dinamakan proses penyepuhan. Proses perubahan suhu yang mendadak ini akan menguatkan lagi mata keris (akibat perubahan struktur molekulnya).

Setelah siap mata keris tadi, ia kemudiannya akan dipupuk dengan campuran asam gelugor, cuka dan belerang, dan akan dibiarkan selama seminggu untuk menaikkan pamornya. Dalam masa yang sama, hulu dan sarung keris akan dibuat. Akhir sekali, hulu, sarung dan pendongkok akan disatukan, dan lahirlah sebilah keris lengkap dengan pakaiannya.

Kami berkesempatan dibawa oleh Pak Mazin untuk melihat beberapa contoh keris yang telah siap, hanya menunggu masa untuk diambil oleh pelanggan. Di sini hamba sertakan beberapa gambar.





Pada pengamatan hamba, kebanyakan bilah keris yang dihasilkan oleh Pak Mazin mempunyai kelebaran yang agak kecil berbanding keris-keris pandai besi lain yang biasa hamba lihat, walaupun untuk saiz keris berjuang (saiz bilah sekitar 12"-14").


Dalam membelek-belek keris-keris yang telah siap, terjumpa pula keris yang sebilah ini. Bagi yang mengikuti bidang perkerisan, sudah tentu kenal dengan bentuk keris lok lima yang unik ini. Inilah dia replika kepada 'Keris Taming Sari' yang merupakan salah satu alat kebesaran diraja DYMM Paduka Seri Sultan Perak.

TEMPAHAN KERIS PERTAMA


Di akhir lawatan kami itu, barulah hamba sampaikan hajat hamba ini yang sudah lama difikirkan kepada Pak Mazin. Selain daripada ingin menadah ilmu dan melihat sendiri bengkel dan penghasilan keris, lawatan ini juga bertujuan untuk menempah sebilah keris berkualiti yang bakal dijadikan warisan keluarga dan bakal diperturunkan kepada generasi hamba yang akan datang. Biarlah keris ini nanti menjadi peringatan kepada anak cucu hamba betapa nenek moyang kita dahulu sudah mahir menyatukan besi-besi yang berlainan jenis menjadi sebuah karya seni yang tiada tolok bangdingnya, yang penuh tersirat makna dan simbol yang cukup signifikan dengan budaya kita.

Jenis dan reka bentuk keris itu nanti telah diperincikan kepada Pak Mazin seperti berikut:

Bilah: 14 1/2 inchi, lok lima, gaya 'Taming Sari', berparit tengah (sogokan), ganja gaya helang terbang

Hulu: Gaya jawa demam (berbeza dengan replika 'Taming Sari' lain yang pernah dihasilkan oleh Pak Mazin, yang selalunya berbentuk lurus seakan bentuk tongkol jagung, seperti keris 'Taming Sari' DYMM Paduka Seri Sultan Perak)

Setelah direkod perincian ini, duit pendahuluan pun dibayar dan resit pun ditulis oleh Pak Mazin, siap dengan perincian keris seperti di atas. 

Pak Mazin berpesan kepada hamba bahawa walaupun sesebilah keris itu mengambil masa lebih kurang 2 bulan untuk disiapkan, tempahan hamba ini hanya dapat dimulakan setelah tempahan-tempahan sedia ada perlu diselesaikan mengikut giliran. Tambahan dengan bulan puasa yang bakal tiba beberapa minggu sahaja lagi daripada tarikh tempahan ini (9 Mei 2015), dapat dianggarkan bahawa masa yang lebih panjang daripada 2 bulan bakal diambil sebelum keris tempahan tempahan tersebut siap. Kata hamba, usahlah dibimbangkan berkenaan masa, asalkan hasilnya nanti adalah yang terbaik dan memenuhi kepuasan yang menempah dan tukangnya. 

Usai lawatan itu, kami pun berangkat pulang ke Taiping, membawa harapan yang tinggi dan semangat penuh membara, menempuh hari-hari menuju tarikh kembalinya kami ke bengkel ini untuk mengambil keris tempahan yang telah siap nanti.


Sekian.

Wallahualam bissawab.

Nota:

Di bawah ini hamba sertakan beberap pautan video yang menampilkan Pak Mazin yang pernah hamba tonton: