LAWATAN KE BENGKEL PAK MAZIN.....BESERTA TEMPAHAN KERIS
Kali ini, hamba akan berkongsi sedikit sebanyak tentang lawatan hamba bersama ayahanda ke bengkel Encik Mazin Bin Abdul Majid (atau mesra dengan panggilan Pak Mazin) pada 9 Mei 2015 yang lalu. Pak Mazin ini merupakan antara pandai besi yang terkenal dan tersohor di Malaysia ini, paling tidak dalam kalangan penggemar dan pengkaji keris, yang masih menghasilkan keris secara tradisional pada hari ini. Bukan sahaja menerima tempahan dari penggemar-penggemar dan kolektor-kolektor tempatan, Pak Mazin juga sering menerima tempahan dari luar negara, juga oleh orang-orang kenamaan, sultan dan DYMM Seri Paduka Baginda sendiri.
LOKASI BENGKEL DI KAMPUNG PADANG CHANGKAT
Bengkel ini terletak hanya bersebelahan dengan rumah Pak Mazin di alamat, No. 66, Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan, 33000 Kuala Kangsar, Perak. Untuk ke sana, perlulah menelusuri jalan di lereng Bukit Chandan menuju ke arah Istana Iskandariah, yang merupakan kediaman rasmi DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Sebaik sahaja melepasi pintu gerbang utama istana, terdapat satu simpang kecil di sebelah kiri dengan papan tanda Kampung Padang Changkat.Dari simpang ini, kami memandu terus sahaja hingga terserempak dengan sebuah gerbang kecil yang amat menarik perhatian. Perkataan "SELAMAT DATANG" diapit oleh lukisan dua bilah keris pada gerbang, serta sebuah arca keris tidak bersarung di sebelahnya memeperlihatkan lagi begitu sinonimnya kampung ini dengan seni pembuatan keris setelah sekian lama.
(gambar ini diambil dari laman Jejak Mihrab dan Mimbar <https://jejakmihrabmimbar.wordpress.com/page/4/>. Tidak sempat pula ambil gambar gerbang ini pada hari tersebut)
Dari gerbang ini, kami teruskan lagi pemanduan kami tidak berapa jauh, sehinggalah kami sampai ke sebuah rumah di sebelah kiri jalan, dengan sebuah bengkel di sebelahnya, yang dinding luarnya dihiasi dengan mural bermotifkan keris dan beberapa senjata besi yang lain, serta papan tanda Jabatan Kraftangan Malaysia.
PAK MAZIN, TUKANG KERIS GENERASI KE-4
Kedatangan kami disambut oleh Pak Mazin dengan begitu ramah sekali. Walaupun sibuk mengerjakan beberapa tempahan pelanggan yang telah dibuat, beliau tidak keberatan untuk melayani pertanyaan kami dan berkongsi sedikit sebanyak tentang diri beliau serta pekerjaan yang diusahakannya ini sejak beliau berumur 12 tahun lagi.
Hasil sembang-sembang santai kami, tahulah kami bahawa Pak Mazin ini merupakan generasi keempat pembuat keris berketurunan Bugis (dari Kepulauan Sulawesi), bermula dengan moyang beliau, yang dikenali sebagai Tukang Mamat. Ilmu pembuatan keris ini kemudiannya diperturunkan kepada datuk Pak Mazin, Pandak Lam, dan seterusnya kepada Abdul Jamil, bapa beliau sehinggalah kemudiannya kepada Pak Mazin sendiri.
Kami juga sempat meneliti beberapa poster dan maklumat berkenaan jenis-jenis keris, bahagian-bahagian keris dan kaedah-kaedah pembuatan keris yang tergantung di dinding bengkel pertukangan tersebut, termasuklah melihat sendiri dan memegang beberapa alat-alat pertukangan yang digunakan oleh Pak Mazin dalam pembuatan keris dan senjata-senjata besi yang lainnya. Di sini hamba titipkan beberapa gambar yang sempat kami ambil.
Kelihatan andas dan tukul, yang merupakan sebahagian daripada alat pertukangan yang digunakan oleh Pak Mazin
Menurut Pak Mazin lagi, selain daripada memenuhi jemputan beberapa pihak (termasuk universiti dan muzium) untuk memberi penerangan dan kadangkala membuat demonstrasi berkenaan seni pembuatan keris, Pak Mazin juga pernah menerima beberapa orang pelajar praktikal dari UITM yang telah meluangkan masa mereka bersama Pak Mazin untuk mempelajari teknik-teknik pembuatan keris, dari pemilihan dan penggabungan bahan-bahan besi mentah sehinggalah terhasilnya sebilah keris. Sempat juga beliau tunjukkan kepada kami laporan praktikal pelajar-pelajar tersebut.
KERIS BESI 7 "PA"
Kami dimaklumkan bahawa Pak Mazin hanya menghasilkan keris setelah menerima tempahan daripada pelanggan, dan tidak menghasilkan keris-keris untuk tujuan komersial dan pasaran ke kedai-kedai barang antik. Keris-keris yang dihasilkan pula diperbuat daripada bahan besi 7 "Pa".
"Apa pula besi 7 "Pa" ini?" tanya hamba.
Kata Pak Mazin, besi 7 "Pa" ini maksudnya bahan-bahan besi daripada alat/senjata dengan nama berpangkal huruf jawi Pa, yakni:
Paku
Pisau
Pahat
Puting
Pencebak (loghat Kuala untuk Penyodok)
Payung
Pagar
Kepingan besi daripada ketujuh-tujuh besi ini kemudiannya akan disusun mengikut klasifikasi tahap kekerasan besi yang boleh dibahagikan kepada 3 jenis, yakni:
1. Besi Tawar (besi lembut)
2. Besi Baja (besi keras)
3. Besi Malela (gabungan sifat Besi Tawar dan Besi Baja)
Bahan-bahan besi ini kemudiannya akan diikat dengan dawai dimasukkan ke dalam dapur pembakaran untuk dileburkan dan kemudiannya diketuk untuk disatukan menjadi seketul logam aloi.
Setelah menyatu, barulah ketulan logam aloi ini dibentuk menjadi bentuk keris yang dikehendaki (dengan loknya, atau lurus) dan kemudian barulah dicanai, diasah dan dinipiskan matanya serta diperhalusi dengan ciri-ciri khas seperti belalai gajah, kerawang, aring dan sebagainya. Bahagian ganja juga pada masa yang sama akan diperhaluskan dan dipasang pada puting mata keris.
Mata keris ini kemudian dipanaskan sekali lagi, dan serta-merta dicelup ke air. Inilah yang dinamakan proses penyepuhan. Proses perubahan suhu yang mendadak ini akan menguatkan lagi mata keris (akibat perubahan struktur molekulnya).
Setelah siap mata keris tadi, ia kemudiannya akan dipupuk dengan campuran asam gelugor, cuka dan belerang, dan akan dibiarkan selama seminggu untuk menaikkan pamornya. Dalam masa yang sama, hulu dan sarung keris akan dibuat. Akhir sekali, hulu, sarung dan pendongkok akan disatukan, dan lahirlah sebilah keris lengkap dengan pakaiannya.
Kami berkesempatan dibawa oleh Pak Mazin untuk melihat beberapa contoh keris yang telah siap, hanya menunggu masa untuk diambil oleh pelanggan. Di sini hamba sertakan beberapa gambar.
Pada pengamatan hamba, kebanyakan bilah keris yang dihasilkan oleh Pak Mazin mempunyai kelebaran yang agak kecil berbanding keris-keris pandai besi lain yang biasa hamba lihat, walaupun untuk saiz keris berjuang (saiz bilah sekitar 12"-14").
Dalam membelek-belek keris-keris yang telah siap, terjumpa pula keris yang sebilah ini. Bagi yang mengikuti bidang perkerisan, sudah tentu kenal dengan bentuk keris lok lima yang unik ini. Inilah dia replika kepada 'Keris Taming Sari' yang merupakan salah satu alat kebesaran diraja DYMM Paduka Seri Sultan Perak.
TEMPAHAN KERIS PERTAMA
Di akhir lawatan kami itu, barulah hamba sampaikan hajat hamba ini yang sudah lama difikirkan kepada Pak Mazin. Selain daripada ingin menadah ilmu dan melihat sendiri bengkel dan penghasilan keris, lawatan ini juga bertujuan untuk menempah sebilah keris berkualiti yang bakal dijadikan warisan keluarga dan bakal diperturunkan kepada generasi hamba yang akan datang. Biarlah keris ini nanti menjadi peringatan kepada anak cucu hamba betapa nenek moyang kita dahulu sudah mahir menyatukan besi-besi yang berlainan jenis menjadi sebuah karya seni yang tiada tolok bangdingnya, yang penuh tersirat makna dan simbol yang cukup signifikan dengan budaya kita.
Jenis dan reka bentuk keris itu nanti telah diperincikan kepada Pak Mazin seperti berikut:
Bilah: 14 1/2 inchi, lok lima, gaya 'Taming Sari', berparit tengah (sogokan), ganja gaya helang terbang
Hulu: Gaya jawa demam (berbeza dengan replika 'Taming Sari' lain yang pernah dihasilkan oleh Pak Mazin, yang selalunya berbentuk lurus seakan bentuk tongkol jagung, seperti keris 'Taming Sari' DYMM Paduka Seri Sultan Perak)
Setelah direkod perincian ini, duit pendahuluan pun dibayar dan resit pun ditulis oleh Pak Mazin, siap dengan perincian keris seperti di atas.
Pak Mazin berpesan kepada hamba bahawa walaupun sesebilah keris itu mengambil masa lebih kurang 2 bulan untuk disiapkan, tempahan hamba ini hanya dapat dimulakan setelah tempahan-tempahan sedia ada perlu diselesaikan mengikut giliran. Tambahan dengan bulan puasa yang bakal tiba beberapa minggu sahaja lagi daripada tarikh tempahan ini (9 Mei 2015), dapat dianggarkan bahawa masa yang lebih panjang daripada 2 bulan bakal diambil sebelum keris tempahan tempahan tersebut siap. Kata hamba, usahlah dibimbangkan berkenaan masa, asalkan hasilnya nanti adalah yang terbaik dan memenuhi kepuasan yang menempah dan tukangnya.
Usai lawatan itu, kami pun berangkat pulang ke Taiping, membawa harapan yang tinggi dan semangat penuh membara, menempuh hari-hari menuju tarikh kembalinya kami ke bengkel ini untuk mengambil keris tempahan yang telah siap nanti.
Sekian.
Wallahualam bissawab.
Nota:
Di bawah ini hamba sertakan beberap pautan video yang menampilkan Pak Mazin yang pernah hamba tonton:
Assalamualaikum tuan..anggaran berapa ringgit sebilah keris yang ditempah?..
BalasPadamBergantung kepada saiz, tuan. Kalau saiz biasa keris tarung (bilah sekitar 14 inci) harganya mungkin blh mencecah RM2,500.
Padamsalam admin, ada nombo telefon encik mazin tak?
BalasPadamWaalaikummussalam. 0176561040
Padamsalam admin, ada nombo telefon encik mazin tak?
BalasPadamassalamualaikum, saya mempunyai sebilah keris. tetapi saya tidak mengetahui jenis dan asal keris tersebut...mcm mana saya boleh dapatkan rujukan mengenai perkara ini?
BalasPadamassalammualaikum en azam lokasi dimana ya.. 0172298302 shah taiping perak
PadamAda nombor telefon en mazin ka? saya dipertanggungjawabkan untuk mmbuat penyelidikan. Mohon response ya soalan saya.. Terima kasih.
BalasPadamNombor Pak Mazin 0176561040
BalasPadamSy mempunyai keris tua, dan arabic dagger, apakah beliau bisa mengetahui berapa tahun umur keris dan arabic dagger, barang2 ini adalah warisan dari bapak mertua saya di jakarta
BalasPadamAssalamualaikum. Saya bercadang mahu membaiki sarung serta hulu keris saya. Pak Mazin boleh membaikinya tak?
BalasPadamAssalamualaikum. Saya bercadang mahu membaiki sarung serta hulu keris saya. Pak Mazin boleh membaikinya tak?
BalasPadam