"DALAM LEMBUT BERSENI ADA KERAS TAK TERPERI, DALAM KERASNYA PULA ADA LEMBUT BERSENI, PETANDA SOPAN SANTUN BANGSA BERBUDI"

Jumaat, 29 Oktober 2010

Definisi

Keris ialah sejenis senjata bermata dua yang tajam, yang bilahnya samada lurus atau berkelok-kelok. Itulah definisi yang diberikan oleh Kamus Dewan kepada warisna budaya yang bernama keris ini. Namun, pernyataan diatas tampak kurang memuaskan kerana terdapat banyak lagi senjata-senajata yang memiliki sifat yang sama. Bambang Harsrinuksmo, seorang ilmuan keris dari Indonesia, menerusi penulisan beliau dalam karya agungnya, Ensiklopedi Keris telah memberikan definisi yang lebih spesifik. Bagi beliau, sesuatu objek itu hanya layak digelar sebagai keris jika:
  1. Matanya terdiri daripada 2 bahagian, yakni bilah dan ganja ( rujuk Foto 2.1). Ganja ialah bahagian yang berupa seperti cicak yang boleh diasingkan daripada bilah keris. Tujuannya ialah untuk menahan (hand-guard) dan mengunci tikaman lawan. Namun, terdapat juga makna tersirat dan perlambangan tertentu yang akan hamba bincangkan dalam keluaran yang akan datang









Foto 2.1: Ganja dan bilah










2 2. Bilahnya membuat suatu sudut pada ganja, dan tidak menegak lurus ke atas. Pada gambar di atas, dapat dilihat bahawa bilah keris agak condong ke sebelah kiri dan bukannya lurus ke bawah. Ini adalah selaras dengan budaya masyarakat di Alam Melayu yang bukan sahaja tunduk dan patuh pada Yang Maha Esa, malah juga kepada sesamanya. Nilai ini dipamerkan melalui pepatah orang-orang terdahulu “ Resminya padi, makin tunduk makin berisi”

3. Ukuran panjang bilahnya lazimnya antara 33cm hingga 38cm. Namun, terdapat juga keris dari luar Jawa yang panjangnya 58 cm, contohnya keris Sundang Filipina yang boleh mencapai sehingga 64 cm. Bagi beliau, keris yang terlalu pendek hanya selayaknya digelar keris-kerisan
3. 4. Bilahnya ditempa daripada sekurang-kurangnya daripada dua jenis logam. Hasil daripada gabungan logam yang berlainan jenis dan warna ini, maka terbentuklah corak yang unik pada mata keris yang digelar sebagai ‘pamor’ (lihat Foto 2.2). Bagi beliau, keris yang baik hendaklah diperbuat daripada tiga jenis logam iaitu besi, bahan nikel yang berwarna keperakan dan besi baja (keluli) yang digunakan untuk memberi ketajaman pada sisi bilah keris











Foto 2.2: Pamor Kulit Semangka (Kulit Tembikai)








Definisi yang diberikan di atas adalah dari segi teknikalnya. Namun, terdapat juga definisi secara falsafah yang diberikan kepada keris. Dalam buku Semangat Keris Melayu karya Emil Bahari, terdapat pernyataan tentang asal-usul nama keris itu sendiri. Menurut beliau, masyarakat di Kelantan mempunyai definisi mereka yang tersendiri terhadap setiap huruf jawi yang membentuk perkataan keris, iaitu kaf, ra, ya dan sin.
· Kaf – Keramat
Keramat di sini bukanlah merujuk kepada taksub atau syirik, tetapi lebih kepada status yang diberikan oleh masyarakat di Alam Melayu kepada keris. Bagi mereka, keris bukanlah hanya berperanan sebagai senjata, malah lebih daripada itu. Ia juga berperanan sebagai simbol status yang mereka muliakan. Jikalah keris itu hanyalah berperanan sebagai senjata, masakan ia diukir dengan seni yang begitu halus, dan dihiasi dengan perhiasan yang cukup indah. Adalah lebih baik jika parang dan pedang yang lebih panjang digunakan, berbanding keris yang lebih pendek.
· Ra – Rahsia
Masyarakat pada suatu ketika dahulu telahpun memiliki kemahirang untuk menyampaikan mesej, pesanan dan makna melalui perlambangan. Pada sesebilah kereta, terdapat pelbagai rahsia dan falsafah yang tersimpan di sebalik setiap bahagian yang terdapat padanya, yang akan kita bincangkan pada keluaran yang akan datang.
· Ya dan Sin – Yang SATU
Jika diamati pada sesebilah keris, terdapat ciri-ciri dan mesej-mesej yang terpahat padanya yang mengingatkan tanggungjawab kita sebagai hamba kepada Allang Yang Maha Satu. Antaranya, bilangan lok (lekuk pada mata keris) yang sentiasa ganjil misalnya lok 5 dan 7 mengingatkan kita kepada waktu solat yang lima dan bilangan tawaf yang tujuh.
Setakat di sini sahajalah perkongsian ilmu kita pada kali wahai taulan. Sebarang komen dan pendapat amatlah hamba alu-alukan dengan hati yang terbuka. Sehingga berjumpa lagi di keluaran yang seterusnya. Nantikan!
~Luahan hati nurani seorang insan bernama Budi~

Ahad, 10 Oktober 2010

Prolog

Keris merupakan suatu objek yang tidak asing lagi dalam menyelusuri budaya di tanah air. Bukan semata-mata sebagai senjata, namun masih banyak lagi fungsi serta signifikan yang dibawa oleh objek budaya ini. Namun, hakikat sebenar tentang warisan bangsa ini semakin dikaburi oleh sejarah silam dan mitologi yang menyelubunginya sejak sekian lama, sehinggakan seringkali ada dalam kalangan kita yang cukup gentar pabila diajak berbicara tentang keris.
Di sini, penulis ingin sekali mengajak para pembaca untuk menyelami maksud sebenar keris sebagai suatu karya seni yang tinggi nilainya. Setelah habis istana-istana serta kapal-kapal kayu tinggalan nenek moyang lenyap ditelan zaman, tinggallah keris sebagai bukti betapa nenek moyang kita sudah mahir dalam seni dan ilmu pertukangan besi dan ukiran kayu yang dijadikan medium bagi menerapkan nilai-nilai budaya mereka yang kaya dengan keistimewaan tersendiri . Inilah antara tinggalan terakhir yang menjadi bukti betapa budaya kita itu luar biasa. Dalam lembut berseni, ada keras tak terperi. Dalam kerasnya pula ada, lembut berseni. Petanda sopan santun bangsa berbudi.
Perkataan pertama yang sering muncul selepas disebut tentang keris ialah “Keris? Ishk....takut. Ada jin!” Tidak dinafikan, bahawa kebanyakan keris telah ternoda dengan unsur-unsur syirik yang boleh membawa kepada kemurkaan Yang Maha Esa. Namun, itu semua hasil daripada tindakan manusia sendiri yang alpa, taksub mahupun yang masih belum menerima kefahaman Islam yang jitu, lantas meletakkan jin dan syaitan sebagai “pelindung” mereka. Kesilapan yang lalu usahlah diulang, wahai sahabat sekalian. Keris itu hanyalah kayu dan besi, tidak lebih dari itu. Namun, falsafah, teknologi pertukangan dan metalurgi serta seni ukiran dan pahatan yang tersimpan dalam objek inilah yang seharusnya kita ambil ibrahnya. Bukan untuk dipuja, bukan untuk diagung.

~Luahan hati nurani insan bernama Budi~