"DALAM LEMBUT BERSENI ADA KERAS TAK TERPERI, DALAM KERASNYA PULA ADA LEMBUT BERSENI, PETANDA SOPAN SANTUN BANGSA BERBUDI"

Ahad, 10 Oktober 2010

Prolog

Keris merupakan suatu objek yang tidak asing lagi dalam menyelusuri budaya di tanah air. Bukan semata-mata sebagai senjata, namun masih banyak lagi fungsi serta signifikan yang dibawa oleh objek budaya ini. Namun, hakikat sebenar tentang warisan bangsa ini semakin dikaburi oleh sejarah silam dan mitologi yang menyelubunginya sejak sekian lama, sehinggakan seringkali ada dalam kalangan kita yang cukup gentar pabila diajak berbicara tentang keris.
Di sini, penulis ingin sekali mengajak para pembaca untuk menyelami maksud sebenar keris sebagai suatu karya seni yang tinggi nilainya. Setelah habis istana-istana serta kapal-kapal kayu tinggalan nenek moyang lenyap ditelan zaman, tinggallah keris sebagai bukti betapa nenek moyang kita sudah mahir dalam seni dan ilmu pertukangan besi dan ukiran kayu yang dijadikan medium bagi menerapkan nilai-nilai budaya mereka yang kaya dengan keistimewaan tersendiri . Inilah antara tinggalan terakhir yang menjadi bukti betapa budaya kita itu luar biasa. Dalam lembut berseni, ada keras tak terperi. Dalam kerasnya pula ada, lembut berseni. Petanda sopan santun bangsa berbudi.
Perkataan pertama yang sering muncul selepas disebut tentang keris ialah “Keris? Ishk....takut. Ada jin!” Tidak dinafikan, bahawa kebanyakan keris telah ternoda dengan unsur-unsur syirik yang boleh membawa kepada kemurkaan Yang Maha Esa. Namun, itu semua hasil daripada tindakan manusia sendiri yang alpa, taksub mahupun yang masih belum menerima kefahaman Islam yang jitu, lantas meletakkan jin dan syaitan sebagai “pelindung” mereka. Kesilapan yang lalu usahlah diulang, wahai sahabat sekalian. Keris itu hanyalah kayu dan besi, tidak lebih dari itu. Namun, falsafah, teknologi pertukangan dan metalurgi serta seni ukiran dan pahatan yang tersimpan dalam objek inilah yang seharusnya kita ambil ibrahnya. Bukan untuk dipuja, bukan untuk diagung.

~Luahan hati nurani insan bernama Budi~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan