"DALAM LEMBUT BERSENI ADA KERAS TAK TERPERI, DALAM KERASNYA PULA ADA LEMBUT BERSENI, PETANDA SOPAN SANTUN BANGSA BERBUDI"

Sabtu, 5 Jun 2021

KERIS TEMPAHAN KETIGA: KERIS MALELA PANCA SRIWIJAYA, KERIS BUAT SANG AKAUNTAN

KERIS TEMPAHAN KETIGA: KERIS MALELA PANCA SRIWIJAYA, KERIS BUAT SANG AKAUNTAN  

Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera. Setelah sekian lama tidak menulis, Alhamdulillah pada hari ini, dengan izin Allah SWT, ilham dan kesempatan pun tiba buat hamba meneruskan perkongsian di laman ini.

Kali ini, hamba akan bicarakan berkaitan keris tempahan hamba yang ketiga. Tempahan kedua hamba belum lagi berkesempatan untuk berkongsi, memandangkan kerisnya tertinggal di kampung halaman, dan berikutan perintah kawalan pergerakan oleh kerajaan, maka terpaksalah hamba tangguhkan dahulu perkongsian berkenaan dengannya pada masa akan datang, insyaAllah.

AIR TANGAN LIMA ORANG TUKANG DARI NEGERI KELANTAN

Keris tempahan ketiga ini adalah hasil tangan lima orang tukang dari negeri Kelantan. Bekalan bilahnya ditempa oleh Encik Mohd Apandi (yang terkenal dengan panggilan Sifu Lan atau Empu Mazlan di Bunut Susu). Bilah ini kemudiannya mendapat sentuhan garapan dan canaian oleh Encik Muhammad Ikhwan Hanipah, seorang tukang muda dari Tendong, Pasir Mas. Hulunya pula adalah hasil tangan Encik Wan Noor Shahidin, manakala sampir dan sarungnya beserta ukiran adalah karya Encik Mohd Azmi Abdullah. Pendokok keris pula adalah hasil oleh Encik Zaini. Namun, hamba hanya berurusan dengan Encik Muhammad Ikhwan Hanipah bagi tujuan tempahan ini.

LATAR BELAKANG DAN ILHAM TEMPAHAN

Niat untuk membuat tempahan ketiga ini datangnya daripada hasrat untuk memenifastasikan suatu tanda pencapaian dan kenangan atas kelulusan hamba sebagai ahli Association of Chartered Certified Accountant (ACCA), sebuah badan profesional perakaunan dunia pada 22 Oktober 2020, setelah usaha yang berterusan ditaburkan sejak 8 tahun yang lalu. Tambahan pula, tidak lama selepas itu, pada 26 November 2020, permohonan hamba untuk menjadi ahli Malaysia Institute of Accountants (MIA) pula telah diterima.  Kedua-dua pengiktirafan ini melayakkan seseorang akauntan itu untuk bergelar Akauntan Bertauliah (Chartered Accountant), dan adalah merupakan kunci penting bagi hamba ke arah permohonan lesen dan kelayakan untuk memberikan perkhidmatan berkaitan perakaunan kepada masyarakat umum. 

Maka, tanggal 29 November 2020, hamba telah utarakan hasrat hamba ini kepada Encik Muhammad Ikhwan Hanipah untuk penghasilan keris yang diidamkan. Tempahan dibuat melalui whatsapp sahaja, mudah dan pantas. Spesifikasi yang berikan kepada beliau adalah seperti berikut:

1. Bilahnya jenis malela unduk-unduk

Malela unduk-unduk cukup telah menjadi identiti dan kebanggaan kepada perkerisan di negeri Terengganu. Tidak berpamor, berlurah, warna besi yang kehitaman dan dilengkapi dengan sepasang unduk-unduk (hidupan laut seperti kuda laut) adalah antara ciri-ciri bilah jenis ini. Pada tafsiran hamba, bilah yang tidak berpamor dan berwarna hitam ini menggambarkan ketegapan, jati diri yang jelas dan kesungguhan, yang sesuai degnan etika seorang akaun profesional yang perlu senantiasa objektif dan berintegriti dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya. Sepasang unduk-unduk tersebut pula suka hamba tafsirkan sebagai dua keahlian profesional yang baru hamba miliki itu, yakni ACCA dan MIA.

2. Bilahnya memiliki 5 luk

5 luk ini hamba tafsirkan sebagai menggambarkan 5 kod etika akauntan profesional yang perlu senantiasa diamalkan dan dijunjung oleh seseorang akauntan.

Integriti (Intergity)

Keobjektifan (Objectivity)

Kerahsiaan (Confidentiality)

Tingkah laku yang profesional (Professional behaviour)

Perhatian dan penjagaan yang berwajaran serta kecekapan yang profesional (Professional due care and competency)

Malah, 5 luk ini juga menggambarkan, pada tafsiran hamba, 5 tingkatan pencapaian yang telah hamba lalui untuk melengkapi perjalanan hamba sebagai seorang akauntan:

Tahap sekolah rendah. Di mana minat terhadap nombor dan ilmu kira-kira disemai.

Tahap sekolah menengah. Di mana ilmu simpan kira dan prinsip perakaunan diberi pengenalan dan pemahaman awal, sehingga berputiknya minat untuk mendalamai lagi ilmu ini.

Tahap pengajian tinggi di kolej persediaan dan universiti. Di mana perdebatan, falsafah dan teori seputar perakaunan, kos, percukaian, pengauditan dan lain-lain ilmu berkaitan kewangan, perundangan dan organisasi ditekuni dan difahami, membentuk perspektif yang lebih luas terhadap bidang yang hamba pilih ini.

Tahap pengalaman kerja dan peperiksaan profesional. Di mana hamba praktikkan ilmu dan kefahaman yang ditimba dalam realiti pekerjaan harian yang lebih menduga. Peperiksaan di peringkat profesional pula mencabar ketepatan dan pemahaman sebelum ini, pada peringkat yang lebih dalam dan terperinci, terutama pabila melibatkan lambakan piawaian perakaunan dan pengauditan serta peraturan-peraturan percukaian yang senantiasa berubah dan ditambah baik, mengikut peredaran zaman.

Tahap keahlian badan profesional. Di mana ilmu, pengalaman dan perjalanan yang ditempuh sebelum ini diiktiraf dan diperaku, untuk menjadi kunci kepada potensi dan cabaran yang lebih besar yang bakal didepani dalam perjuangan dan jihad di lapangan umum nanti.

3. Panjang bilahnya adalah 14 inci

Bilah dengan panjang 14 inci ini adalah sesuai digunakan sebagai keris tarung. Keris yang digunakan untuk bertikam melawan musuh. Selarilah ia sebagai tanda dan ingatan kepada hamba untuk meneruskan jihad dan perjuangan sebagai hamba Allah yang ditaklifkan manjadi seorang akauntan, dengan izin Allah di muka bumi ini.

4. Berhulu pekaka bahan kemuning

Jika bilahnya dihiasi hidupan di bawah laut, maka hulunya pula mengingatkan kepada Burung Raja Udang atau juga dikenali sebagai Burung Pekaka yang terbang melayar di permukaan perairan, memburu mangsa yang kealpaan. Sudah menjadi tradisi bagi bilah jenis malela ini digandingkan dengan pasangan hulu pekaka yang menambah manis rupanya.

5. Bersampir kusriwo bahan kemuning

Jika sudah bilahnya malela, hulu pula pekaka, maka lebih anggunlah jika dilengkapkan dengan sampir jenis kusriwo. Sampir jenis ini biasanya terkenal dengan ukiran halus dan cantik yang menghiasinya, dan kelihatan sedikit besar berbanding sampir tebeng bugis atau sampir yang lainnya (kecuali sampir bugis penghulu yang paling lebar dan besar). Secara jujurnya, hamba masih belum lagi menemui jawapan tentang asal usul nama kusriwo ini. Ada yang mengkhabarkan bahawa nama itu berasal daripada seseorang di zaman dahulu yang memakai gelaran Tengku Seri Dewa. Mengikut ceritanya, di minta dibuatkan sebilah keris khas untuknya, maka dibuatkan sebuah sarung khas untuknya dan diberi nama sarung itu kusriwo, sempena nama tuan empunyanya. Saya masih mencari lagi lanjutan kisah ini dan maklumat-maklumat lain berkaitan sampir kusriwo. Jika bertemu, insyaAllah akan hamba kongsikan dalam penulisan yang akan datang.

LAHIRNYA SEBUAH KARYA SENI WARISAN BANGSA

Maka pada tanggal 9 Februari 2021, sekitar 2 bulan selepas tarikh pesanan tempahan di buat, telah lahirlah sebilah karya seni hasil tangan 5 orang tukang dari negeri Kelantan ini. 

Gambar 1: Bilah yang baharu selesai dicanai. Belum dipasang ganja

Gambar 2: Bilah yang telah lengkap dicanai. Menunggu untuk proses rendaman dalam cuka getah untuk menghitamkan warnanya.

Gambar 3: Keris yang telah lengkap berpakaian. Menunggu untuk kemasan akhir pada sampir dan batang serunainya.

Gambar 4: Pemandangan keseluruhan dari sisi kiri

Gambar 5: Pemandangan keseluruhan dari sisi atas

Gambar 6: Pemandangan keseluruhan dari sisi kanan

Gambar 7: Keris berdiri pada hulunya, bersandarkan sampir


Gambar 8: Keris berdiri pada tuntung bilahnya, bersandarkan sampir

    PERINCIAN BILAH

    Panjang bilah: 14 inci
    Nama tukang bekalan: Encik Mohd Apandi (Sifu Lan atau Empu Mazlan)
    Nama tukang canai dan garapan: Encik Muhammad Ikhwan Hanipah
    Bahan bilah: Besi bangunan lama
    Bentuk keratan rentas bilah: Wajik (diamond)
    Dapor/bentuk: Malela unduk-unduk luk 5
    Bilangan luk: 5
    Ganja: Menumpang, sebit ron tal
    Ricikan: Sepasang unduk-unduk, belalai gajah, gading gajah janggut, aring, sepuluh bulatan                                     melambangkan ombak lautan, picitan
    Ciri-ciri lain: Tulang keris di tengah, alur luar dan dalam

Gambar 9: Pemandangan keseluruhan bilah

Gambar 10: Ricikan pada pangkal bilah

Gambar 11: Bahagian tengah hingga hujung bilah

Gambar 12: Pemandangan keseluruhan muka kanan bilah

Gambar 13: Pemandangan keseluruhan muka kiri bilah

Gambar 14: Pemandangan dari atas hulu, menampakkan bentuk cicak pada ganja

    PERINCIAN PENDOKOK

    Nama tukang: Encik Zaini
    Bentuk pendokok: Telur ikan
    Bahan: Tembaga

Gambar 15: Pendokok telur ikan bahan tembaga

Gambar 16: Pendokok telur ikan bahan tembaga

Gambar 17: Pendokok telur ikan bahan tembaga

Gambar 18: Pendokok telur ikan bahan tembaga

    PERINCIAN PENDOKOK

    Nama tukang: Encik Wan Noor Shahidin
    Bentuk: Pekaka
    Bahan: Kayu kemuning

Gambar 20: Pemandangan sisi kanan hulu. Kelihatan siku dan tanggan kanannya, yang seakan memeluk tubuh, seperti semasa qiam dalam solat

Gambar 21: Pemandangan sisi kiri hulu. Kelihatan tanggan kirinya

Gambar 21: Pemandangan sisi hadapan hulu. Kelihatan paruh dan puncak balungnya

Gambar 22: Pemandangan sisi belakang hulu. Kelihatan balungnya,dan bahu kedua tangannya

Gambar 21: Pemandangan dari atas hulu

    PERINCIAN SARUNG   

     Nama tukang: Encik Mohd Azmi Abdullah
     Bentuk sampir: Kusriwo berukir
     Jenis ukiran: Belum diketahui namanya
     Bahan sampir: Kayu kemuning
     Bahan batang serunai: Kayu sena
     Jenis buntut sarung: Buntut belangkas
     Bahan buntut sarung: Kayu kemuning

Gambar 22: Pemandangan sisi hadapan sampir kusriwo

Gambar 23: Ukiran pada sampir kusriwo

Gambar 24: Pemandangan sisi kiri sampir

Gambar 25: Pemandangan sisi belakang sampir

Gambar 26: Pemandangan sisi kanan sampir

Gambar 27: Batang serunai, bahagian hadapan

Gambar 28: Batang serunai, bahagian belakang

Gambar 29: Buntut belangkas

Gambar 30: Pemandangan dari bawah buntut belangkas

MALELA PANCA SRIWIJAYA NAMA DIBERI

Melihat akan kualiti akhir hasil seni warisan bangsa ini, maka senang dan gembiralah hati hamba, dan syukur di panjat ke hadhrat Ilahi akan rezeki dan dikmat yang dikurnia. Semua spesifikasi yang dihajat telah disempurnakan. 

Oleh itu, atas segala ciri dan sifatnya, hamba gelar akan keris ini dengan nama

KERIS MALELA PANCA SERIWIJAYA

Malela atas bentuk dan jenis bilahnya. Panca seriwijaya merujuk kepada 5 (panca) tahapan kejayaan yang indah (seriwijaya) yang telah dilalui oleh hamba dalam perjalanan ke arah menjadi akauntan bertauliah, seperti yang terlihat pad 5 luk bilah kerisnya.


Akhir kata, setakat ini sahaja dahulu perkongsian hamba. Ada pun hamba ini cuma insan biasa, tidak lari dari salah dan silap dan keterbasan ilmu yang ada. Sebarang pembetulan, perkongsian dan pandangan amat hamba alu-alukan.

Sehingga ketemu lagi dalam perkongsian yang seterusnya, insyaAllah.

Wallahua'lam bissawab.

Assalamuualaikum wbt. dan salam hormat.

Isnin, 26 Jun 2017

DEFINISI KERIS MENURUT BAMBANG HARSRINUKISMO

Assalamualaikum wbt.

Di kesempatan ini, hamba ucapkan kepada para pembaca yang beragaa Islam taqabbalallahu minna wa minkum. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Untuk post kali ini, suka bagi hamba kongsikan definisi keris sepertimana yang dinyatakan oleh Bambang Harsrinukismo di dalam salah sebuah karya agungnya, Ensiklopedi Keris.

Berikut disertakan petikan daripada buku beliau itu:

"Sebuah benda dapat digolongkan sebagai keris bila benda itu memenuhi kriteria sebagai berikut:


  1. Keris harus terdiri dari dua bahagian utama, yakni bagian bilah keris (termasuk pesi) dan bagian ganja. Bagian bilah dan pesi melambangkan ujud lingga, sedangkan bagian ganja melambangkan ujud yoni. Dalam falsafah Hindu, persatuan antara lingga dan yoni merupakan perlambangan harapan atas kesuburan, keabadian (kelestarian), dan kekuatan.
  2. Bilah keris harus selalu membuat sudut tertentu terhadap ganja, tidak tegak lurus. Kedudukan bilah keris yang miring atau condong ini adalah perlambang dari sifat orang Jawa, dan suku bangsa Indonesia lainnya, bahwa seseorang, apa pun pangkat dan kedudukannya, harus senantiasa tunduk dan hormat, bukan saja pada Sang Pencipta, tetapi juga sesamanya. Ilmu padi, kata pepatah, makin berilmu seseorang, makin tunduk orang itu.
  3. Ukuran panjang bilah keris yang lazim adalah antara 33 cm sampai 38 cm. Beberapa keris luar Jawa bisa mencapai 58 cm; bahkan keris buatan Filipina Selatan, panjangnya ada yang mencapai 64 cm. Yang terpendek adalah keris Buda dan keris buatan Nyi Sombro Pajajaran, yakni hanya sekitar 16-18 cm. Sesungguhnya, keris yang amat kecil dan pendek, misalnya hanya 12 cm, atau bahkan ada yang lebih kecil dai ukuran fullpen, tidak dapat digolongkan sebagai keris, melainkan semacam jimat berbentuk keris-kerisan.
  4. Keris yang baik harus dibuat dan ditempa dari tiga macam logam, minimal dua, yakni besi, baja dan bahan pamor. Keris-keris tua, semisal keris Buda, tidak menggunakan baja.

Dengan demikian, keris yang dibuat dari kuningan, seng, dan bahan logam lainnya, tidak dapat digolongkan sebagai keris. Begitu juga “keris” yang dibuat bukan dengan cara ditempa, melainkan dicor, atau yang dibuat dari guntingan drum bekas aspal tergolong bukan keris, melainkan hanya keris-kerisan.

Meskipun masih ada beberapa kriteria lain untuk bisa mengatakan sebuah benda adalah keris, empat ketentuan di atas itulah yang terpenting. ......."

ULASAN

Sundang (juga dikenali sebagai Kalis), yakni antara senjata utama yang digunakan di Filipina Selatan, turut memenuhi definisi untuk layak dikategorikan dalam keluarga keris. Sepertimana keris, Sundang juga memiliki ganja dan puting (pesi), walaupun kebiasaannya bagi Sundang, ganja dan bilahnya tidak terpisah (istilah yang digunakan untuk keris ialah ganja iras).


Rajah 1: Bahagian bilah keris. Sumber: www.goedangdjadoel.com


Rajah 2: Bahagian Sundang. Sumber: http://khairulkarim.blogspot.my

Selain itu, sepertimana keris, bilah Sundang juga dilihat condong sedikit daripada bahagian ganjanya sekiranya ganjanya diletakkan di atas permukaan rata. Hal ini selari dengan jati diri dan nilai yang diterapkan dalam diri seorang Melayu sejak kecil lagi, yang menitikberatkan sifat merendah diri, sebagaimana resmi padi, makin tunduk makin berisi. Hal ini juga melambangkan betapa bangsa dan rumpun Melayu itu memusatkan pengabdian kepada Tuhan dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Wallahualam bissawab.



Sabtu, 12 November 2016

PERTANDINGAN KOLEKSI KERIS CANTIK TERBUKA SEMENANJUNG 26 MAC 2016

Alhamdulillah hi rabbil alamin. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, kerna dengan limpah kurnianya, diberikan kesempatan kepada hamba untuk berkongsi sedikit sebanyak dapatan daripada lawatan hamba ke Pertandingan Koleksi Keris Cantik Terbuka Semenanjung yang diadakan pada 26 Mac 2016 yang lalu.

Telah begitu lama hamba merancang untuk menulis post ini, namun apakan daya, pelbagai urusan kerja datang menyapa.

Berikut hamba kongsikan sedikit sebanyak video-video dan gambar-gambar yang sempat hamba rakamkan sepanjang program tersebut.

BILA, DI MANA?

Pertandingan tersebut telah diadakan pada 26 Mac 2016, hari Sabtu, bermula sekitar 8.30 pagi.

Bertempat di perkarangan Muzium Istiadat DiRaja Kelantan, atau dikenali sebagai Istana Jahar, Kota Bharu, Kelantan.

Pertandingan ini bolehlah dikatakan sebagai acara kemuncak sempena Pameran Senjata Cantik & Batu Permata Adat Melayu Kelantan yang diadakan di Istana Jahar bermula 12 Mac 2016 hingga 12 April 2016.

Bunting Pameran Senjata Cantik & Batu Permata Adat Melayu Kelantan yang menyambut kedatangan para pengunjung di hadapan pintu masuk Istana Jahar
Keindahan seni bina Muzium Istiadat DiRaja Kelantan (Istana Jahar)

Poster rasmi acara (sumber daripada Facebook Muzium Kelantan  https://www.facebook.com/muziumkelantan/?hc_ref=PAGES_TIMELINE)



KOLEKSI GAMBAR SEPANJANG ACARA













Fuhh.....meleleh air liur hamba melihatkan keanggunan dan begitu elegannya koleksi-koleksi keris yang dipertandingkan. Juga kelihatan beberapa bilah keris tajong. Mampu tengok sahajalah.....

FORUM SENJATA CANTIK: KERIS TAJONG

Turut menyerikan program pada hari tersebut ialah sesi perkongsian ilmu menerusi forum bertajuk Keris Tajong. Dipengerusikan oleh Encik Mohamed Safarudin Ismail dan dipanelkan oleh Puan Hajah Rosnawati Binti Othman (Pengarah Akademi Nik Rasyiddin) dan Encik Norhaiza Noordin (Adiguru Kraf Ukiran).

Banyak yang dikongsikan berkenaan kehalusan, kesenian dan keistimewaan kehalusan seni ukiran pada hulu keris, khasnya pada hulu keris tajong.

Syabas diucapkan kepada penganjur, termasuk pihak Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan Persatuan Seni Purba & Kraftangan Negeri Kelantan. Semoga yang sama dapat diteruskan oleh ramai lagi pihak, bagi membudaya dan memasyarakatkan keris di negara kita ini.

Wallahualam.