KERIS TEMPAHAN KETIGA: KERIS MALELA PANCA SRIWIJAYA, KERIS BUAT SANG AKAUNTAN
Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera. Setelah sekian lama tidak menulis, Alhamdulillah pada hari ini, dengan izin Allah SWT, ilham dan kesempatan pun tiba buat hamba meneruskan perkongsian di laman ini.
Kali ini, hamba akan bicarakan berkaitan keris tempahan hamba yang ketiga. Tempahan kedua hamba belum lagi berkesempatan untuk berkongsi, memandangkan kerisnya tertinggal di kampung halaman, dan berikutan perintah kawalan pergerakan oleh kerajaan, maka terpaksalah hamba tangguhkan dahulu perkongsian berkenaan dengannya pada masa akan datang, insyaAllah.
AIR TANGAN LIMA ORANG TUKANG DARI NEGERI KELANTAN
Keris tempahan ketiga ini adalah hasil tangan lima orang tukang dari negeri Kelantan. Bekalan bilahnya ditempa oleh Encik Mohd Apandi (yang terkenal dengan panggilan Sifu Lan atau Empu Mazlan di Bunut Susu). Bilah ini kemudiannya mendapat sentuhan garapan dan canaian oleh Encik Muhammad Ikhwan Hanipah, seorang tukang muda dari Tendong, Pasir Mas. Hulunya pula adalah hasil tangan Encik Wan Noor Shahidin, manakala sampir dan sarungnya beserta ukiran adalah karya Encik Mohd Azmi Abdullah. Pendokok keris pula adalah hasil oleh Encik Zaini. Namun, hamba hanya berurusan dengan Encik Muhammad Ikhwan Hanipah bagi tujuan tempahan ini.
LATAR BELAKANG DAN ILHAM TEMPAHAN
Malela unduk-unduk cukup telah menjadi identiti dan kebanggaan kepada perkerisan di negeri Terengganu. Tidak berpamor, berlurah, warna besi yang kehitaman dan dilengkapi dengan sepasang unduk-unduk (hidupan laut seperti kuda laut) adalah antara ciri-ciri bilah jenis ini. Pada tafsiran hamba, bilah yang tidak berpamor dan berwarna hitam ini menggambarkan ketegapan, jati diri yang jelas dan kesungguhan, yang sesuai degnan etika seorang akaun profesional yang perlu senantiasa objektif dan berintegriti dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya. Sepasang unduk-unduk tersebut pula suka hamba tafsirkan sebagai dua keahlian profesional yang baru hamba miliki itu, yakni ACCA dan MIA.
2. Bilahnya memiliki 5 luk
5 luk ini hamba tafsirkan sebagai menggambarkan 5 kod etika akauntan profesional yang perlu senantiasa diamalkan dan dijunjung oleh seseorang akauntan.
Integriti (Intergity)
Keobjektifan (Objectivity)
Kerahsiaan (Confidentiality)
Tingkah laku yang profesional (Professional behaviour)
Perhatian dan penjagaan yang berwajaran serta kecekapan yang profesional (Professional due care and competency)
Malah, 5 luk ini juga menggambarkan, pada tafsiran hamba, 5 tingkatan pencapaian yang telah hamba lalui untuk melengkapi perjalanan hamba sebagai seorang akauntan:
Tahap sekolah rendah. Di mana minat terhadap nombor dan ilmu kira-kira disemai.
Tahap sekolah menengah. Di mana ilmu simpan kira dan prinsip perakaunan diberi pengenalan dan pemahaman awal, sehingga berputiknya minat untuk mendalamai lagi ilmu ini.
Tahap pengajian tinggi di kolej persediaan dan universiti. Di mana perdebatan, falsafah dan teori seputar perakaunan, kos, percukaian, pengauditan dan lain-lain ilmu berkaitan kewangan, perundangan dan organisasi ditekuni dan difahami, membentuk perspektif yang lebih luas terhadap bidang yang hamba pilih ini.
Tahap pengalaman kerja dan peperiksaan profesional. Di mana hamba praktikkan ilmu dan kefahaman yang ditimba dalam realiti pekerjaan harian yang lebih menduga. Peperiksaan di peringkat profesional pula mencabar ketepatan dan pemahaman sebelum ini, pada peringkat yang lebih dalam dan terperinci, terutama pabila melibatkan lambakan piawaian perakaunan dan pengauditan serta peraturan-peraturan percukaian yang senantiasa berubah dan ditambah baik, mengikut peredaran zaman.
Tahap keahlian badan profesional. Di mana ilmu, pengalaman dan perjalanan yang ditempuh sebelum ini diiktiraf dan diperaku, untuk menjadi kunci kepada potensi dan cabaran yang lebih besar yang bakal didepani dalam perjuangan dan jihad di lapangan umum nanti.
3. Panjang bilahnya adalah 14 inci
Bilah dengan panjang 14 inci ini adalah sesuai digunakan sebagai keris tarung. Keris yang digunakan untuk bertikam melawan musuh. Selarilah ia sebagai tanda dan ingatan kepada hamba untuk meneruskan jihad dan perjuangan sebagai hamba Allah yang ditaklifkan manjadi seorang akauntan, dengan izin Allah di muka bumi ini.
4. Berhulu pekaka bahan kemuning
Jika bilahnya dihiasi hidupan di bawah laut, maka hulunya pula mengingatkan kepada Burung Raja Udang atau juga dikenali sebagai Burung Pekaka yang terbang melayar di permukaan perairan, memburu mangsa yang kealpaan. Sudah menjadi tradisi bagi bilah jenis malela ini digandingkan dengan pasangan hulu pekaka yang menambah manis rupanya.
5. Bersampir kusriwo bahan kemuning
Jika sudah bilahnya malela, hulu pula pekaka, maka lebih anggunlah jika dilengkapkan dengan sampir jenis kusriwo. Sampir jenis ini biasanya terkenal dengan ukiran halus dan cantik yang menghiasinya, dan kelihatan sedikit besar berbanding sampir tebeng bugis atau sampir yang lainnya (kecuali sampir bugis penghulu yang paling lebar dan besar). Secara jujurnya, hamba masih belum lagi menemui jawapan tentang asal usul nama kusriwo ini. Ada yang mengkhabarkan bahawa nama itu berasal daripada seseorang di zaman dahulu yang memakai gelaran Tengku Seri Dewa. Mengikut ceritanya, di minta dibuatkan sebilah keris khas untuknya, maka dibuatkan sebuah sarung khas untuknya dan diberi nama sarung itu kusriwo, sempena nama tuan empunyanya. Saya masih mencari lagi lanjutan kisah ini dan maklumat-maklumat lain berkaitan sampir kusriwo. Jika bertemu, insyaAllah akan hamba kongsikan dalam penulisan yang akan datang.
LAHIRNYA SEBUAH KARYA SENI WARISAN BANGSA
Maka pada tanggal 9 Februari 2021, sekitar 2 bulan selepas tarikh pesanan tempahan di buat, telah lahirlah sebilah karya seni hasil tangan 5 orang tukang dari negeri Kelantan ini.
PERINCIAN BILAH
PERINCIAN PENDOKOK
PERINCIAN PENDOKOK
PERINCIAN SARUNG
Gambar 30: Pemandangan dari bawah buntut belangkas