Berlainan dengan post yang sebelumnya, yang rata-ratanya membincangkan tentang fizikal keris, pada kali ini, suka untuk hamba berkongsi beberapa video klip untuk tatapan kalian. Menarik untuk saya katakan betapa mendalamnya kajian yang dibuat dalam menghasilkan filem-filem di bawah ini, sehinggakan budaya perkerisannya digarap dengan begitu baik sekali. Menagapa jarang sekali kita dapat lihat kualiti yang sama pada filem-filem kita dewasa ini?.......
#1
Klip ini dipetik daripada filem Tuah (1956), lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Dapat dilihat pada minit yang ke 06:22, dapat kita lihat bahawa Tuah telah memusingkan kerisnya, menghalakan hulunya ke dalam (dalam kata lain, menelangkupkan kerisnya) apabila hendak menghadap Sultan. Selanjutnya, pada minit ke 06:35, Tuah telah memusingkan semula kerisnya, menghalakan hulunya ke luar (menelentangkan kerisnya) apabila hendak bertarung dengan Taming Sari.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, budaya pemakaian keris yang sama juga diperhatikan jua dalam satu lagi filem yang sudah cukup sebati dengan masyarakat Malaysia, yakni Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (1961) lakonan Allahyarham Nordin Ahmad.
#2
Dapat kita lihat bahawa pada minit ke 02:27, Laksamana Bentan atau nama asalnya Megat Seri Rama lakonan Allahyarham Nordin Ahmad telah menelentangkan kerisnya, menghadapkan hulunya ke luar ketika ingin menderhaka kepada Sultan.
Daripada klip-klip yang dinyatakan di atas, dapat disimpulkan bahawa:
- Keris dipakai dengan hulu menghadap kedalam atau menelangkup apabila mengadap Sultan yang punya darjat yang lebih tinggi, atau ketika di majlis keramaian di mana keris tidak dipakai dengan niat untuk bertarung atau menjalankan fungsinya sebagai senjata (lihat http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Erti_Hidup&pg=er_01.htm)
- Keris dipakai dengan hulu menghadap keluar atau menelentang ketika hendak bertarung, atau untuk menunjukkan niat untuk menyerang mahupun berperang
- Hanya Sultan yang punya kuasa ke atas rakyat jelatanya punya hak untuk memakai keris secara menelentang hulu ke hadapan sepanjang masa. Begitu jua dengan si pengantin lelaki pada hari persandingannya, di mana dia diangkat sebagai raja sehari dan oleh itu bisa memakai keris sebagaimana Raja memakainya.
Namun begitu, timbul jua keraguan di hati taktala melihat adat sedemikian tidak lagi dapat dilihat diamalkan oleh mereka yang dititah keistana taktala bintang dan darjah dikurniakan kepada para penerima oleh Sultan mahupun Yang Dipertuan Agong pada masa kini. Malah, ketika istiadat pertabalan yang gilang gemilang jua, budaya perkerisan tersebut masih tidak kelihatan.
Adakah kerana kuranya pengetahuan mereka terhadap budaya perkerisan?
Adakah kerana kesilapan pada pemahaman hamba tentang budaya perkerisan dalam filem2 di atas?
Adakah kesilapan dalam penggarapan budaya perkerisan di dalam filem2 tersebut?
Atau adakah budaya tersebut sudat tidak lagi relevan pada masa kini?
Mohon perkongsian daripada kalian semua, agar terjawab seribu pertanyaan yang bermain di minda.
Wallahualam.
Nota:
Terdapat sebuah talibun (puisi lama terdiri daripada 4, 16, 20 baris dan bersajak diakhirnya)yang menggariskan tatacara pemakaian keris seperti berikut :
Kalau memakai keris
Keris tersisip sebelah kiri
Keris beradat berlembaga
Kalau memakai keris telentang
Itu tanda mencari lawan
Bagai ayam kokok berdentang
Bagai hulubalang masuk gelanggang
Elok dipakai ditengah hutan
Atau belayar tengah laut
Untuk menjaga jaga diri
Kalau keris sampir terlungkup
Keris tidak mencari lawan
Keris tidak mencari musuh
Yang dipakai dalam jamuan
Yang dipakai pergi bertandang
Berbelit punca wali
Berselubung sampai kehulu
Tanda beradat berketurunan
Patut disebut keris terap
(Karya Tenas Effendy, seorang budayawan dan sasterawan Melayu dari Riau. Sila lihat pautan untuk biodata lanjut beliau <https://id.wikipedia.org/wiki/Tenas_Effendy>)
Budaya pekerisan, sepertimana keris, ada banyak. Gambar keris pada blog ini adalah keris madura, pastinya bukan keris "melayu". Begitu juga budaya perkerisan. Rangkap2 puisi yang tertera hasil tulisan Pak Tenas Efendi, seorang budayawan Riau yang bercakap tentang budaya keris Riau. Begitu juga adab berkeris di Istana, berbeza dilain istana, dilain negeri. Banyak negeri di Tanah Melayu dan adab berkeris berbeza beza.
BalasPadamTerima kasih, Encik khaz64 atas perkongsian. Saya telah kemaskini pada puisi tersebut berkenaan penulisnya dan pautan kepada biodata beliau.
BalasPadam