"DALAM LEMBUT BERSENI ADA KERAS TAK TERPERI, DALAM KERASNYA PULA ADA LEMBUT BERSENI, PETANDA SOPAN SANTUN BANGSA BERBUDI"
Memaparkan catatan dengan label Melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Melayu. Papar semua catatan

Jumaat, 13 Mei 2016

PENGERTIAN KERIS MENURUT SUMBER KELANTAN

Assalamualaikum wbt.

Tujuan post pada kali ini ialah untuk hamba berkongsi sedikit berkenaan makna di sebalik nama keris, menurut sumber-sumber dari Kelantan, daripada buku-buku berkaitan keris koleksi hamba sendiri.

Sumber yang hamba petik untuk tujuan post kali ini ialah seperti berikut:



Zakaria B. Abdullah, "Rahsia Keris dan Senjata Warisan Melayu". D Warisan Darul Naim dengan kerjasama Persatuan Senipurba dan Kraftangan Kelantan (cetakan pertama 2007)


Emil Bahari, "Semangat Keris Melayu: Menjawab Persoalan Ada Apa Dengan Keris?". Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (terbitan pertama 2009)


MENURUT BUKU RAHSIA KERIS DAN SENJATA WARISAN MELAYU


Pada permulaan buku ini, disertakan sebuah gambarajah yang menunjukkan beberapa siri maksud tersirat di sebalik empat huruf jawi yang membentuk perkataan keris (Kaf, Ra, Ya dan Sin). Sila rujuk gambar di bawah.


Berdasarkan gambarajah di atas, terdapat enam rangkap kenyataan yang boleh dibentuk berdasarkan empat huruf diatas, yakni:

1. Kuasa Raja Yang Sejagat
2. Kebanggaan Rakyat Yang Setia
3. Kemuliaan Raja Yang Susila
4. Keamanan Rakyat Yang Sejahtera
5. Kekuatan Raja Yang Sakti
6. Ketahanan Rakyat Yang Sepadu

Rangkap-rangkap ini, pada tafsiran hamba, menunjukkan kegunaan keris dan signifikannya kepada orang Melayu, yang antara lainnya menjadi lambang dan simbol kuasa, kemuliaan dan kekuatan serta kedaulatan raja pemerintah. Manatakan tidak, bukan calang-calang tukang yang boleh menghasilkan ukiran dan hasil pertukangan bermutu tinggi dan unik yang ada pada keris dan juga bukan calang-calang orang yang mampu memiliki dan mengarahkan penghasilannya oleh tukang tersebut.
Ini ialah antara nilai-nilai tambahan yang ada pada keris selain daripada digunakan sebagai senjata dan alat mempertahankan diri, seterusnya meletakkan keris pada tempat yang istimewa di hati orang Melayu dan menjadikan ia warisan bangsa kebanggaan mereka.

Namun, tidak dinyatakan secara spesifik di dalam buku tersebut dari mana konsep di atas diambil. Mungkin sahaja konsep ini telah lama difahami dan disimpan oleh orang-orang Melayu terdahulu di Negeri Kelantan, khususnya. Tambahan pula memang diakui oleh penulis sendiri bahawa bahan-bahan dan informasi yang terdapat dalam bukunya adalah daripada pandangan pencinta keris Malaysia amnya dan Kelantan khasnya.

Tidak diketahui pula oleh hamba akan konsep yang sama atau sepadan daripada negeri-negeri lain mahupun tempat-tempat lain di nusantara, setakat ilmu hasil bacaan hamba setakat ini.

Suka juga untuk hamba kongsikan bahawa gambarajah yang sama boleh didapati di balai senjata Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan (Istana Jahar), Kota Bharu, Kelantan. Hamba berkesempatan melawat ke sana ketika menghadiri Pertandingann Senjata Cantik di Istana Jahar pada 26 Mac 2016 yang lalu.  


Diagram tentang pengertian perkataan keris seperti yang terdapat di balai senjata Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan (Istana Jahar), Kota Bharu


Poster promosi Pameran Senjata Cantik & Batu Permata Adat Melayu Kelantan di luar pintu pagar Istana Jahar semasa lawatan hamba ke sana pada 26 Mac 2016


Keindahan senibina Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan (Istana Jahar), Kota Bharu

MENURUT BUKU SEMANGAT KERIS MELAYU


Memetik kata-kata penulis buku Semangat Keris Melayu, sejarah lisan dari negeri Kelantan memberikan perkataan keris itu membawa maksud "Keramat, Rahsia, Yang, Satu", yang terbentuk daripada empat huruf jawi Kaf, Ra, Ya dan Sin yang membentuk perkataan 'keris'.

Menurut penulis, maksud "Keramat, Rahsia, Yang dan Satu" itu bolehlah dihurai seperti berikut:

Keramat
Kemuliaan yang dianugerahkan Allah SWT kepada hambaNya yang suci dan yang membawa kepada kebaikan. Juga membawa maksud kemuliaan yang diberikan kepada keris oleh bangsa Melayu.

Rahsia
Pada keris itu terdapat rahsia-rahsia yang berupa simbol atau perlambangan serta falsafah yang tersembunyi.

Yang Satu
Pada keris itu terdapat tanda-tanda dan perlambangan yang boleh mengingatkan kita kepada Tuhan Yang Maha Esa.


Sesungguhnya, berdasarkan dua buah buku ini sahaja, dapat kita lihat bahawa keris itu pada diri seorang Melayu bukanlah semata-mata sebuah senjata untuk membunuh atau mempertahankan diri, tetapi juga menjadi lambang jati diri dan identiti seorang Melayu, manifestasi ketinggian ilmu falsafah dan perlambangan mereka, sebagai simbol status dan pengenalan diri serta sebuah karya seni warisan turun temurun yang harus diletakkan ditempat yang sewajarnya. 

Harapan kita semua agar warisan kita ini dikenali, dihargai dan diteruskan oleh generasi akan datang, dan bukannya menjadi satu tabu atau ketakutan mereka yang hanya memandang kepada sudut mistik sesetengah keris yang dimiliki individu tertentu sahaja.

Wallahualam. 

Rabu, 8 Jun 2011

Sekadar Selingan: Budaya Perkerisan Dalam Perfileman Nusa

Assalamualaikum wbt pembaca yang budiman sekalian. Setelah sekian lama tidak mengukir kata di laman ini, maka tibalah kesempatan bagi hamba untuk mengisi semula laman ini dengan perkongsian yang sudah lama terbuku di hati.

Berlainan dengan post yang sebelumnya, yang rata-ratanya membincangkan tentang fizikal keris, pada kali ini, suka untuk hamba berkongsi beberapa video klip untuk tatapan kalian. Menarik untuk saya katakan betapa mendalamnya kajian yang dibuat dalam menghasilkan filem-filem di bawah ini, sehinggakan budaya perkerisannya digarap dengan begitu baik sekali. Menagapa jarang sekali kita dapat lihat kualiti yang sama pada filem-filem kita dewasa ini?.......

#1

Klip ini dipetik daripada filem Tuah (1956), lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Dapat dilihat pada minit yang ke 06:22, dapat kita lihat bahawa Tuah telah memusingkan kerisnya, menghalakan hulunya ke dalam (dalam kata lain, menelangkupkan kerisnya) apabila hendak menghadap Sultan. Selanjutnya, pada minit ke 06:35, Tuah telah memusingkan semula kerisnya, menghalakan hulunya ke luar (menelentangkan kerisnya) apabila hendak bertarung dengan Taming Sari.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, budaya pemakaian keris yang sama juga diperhatikan jua dalam satu lagi filem yang sudah cukup sebati dengan masyarakat Malaysia, yakni Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (1961) lakonan Allahyarham Nordin Ahmad.

#2

Dapat kita lihat bahawa pada minit ke 02:27, Laksamana Bentan atau nama asalnya Megat Seri Rama lakonan Allahyarham Nordin Ahmad telah menelentangkan kerisnya, menghadapkan hulunya ke luar ketika ingin menderhaka kepada Sultan.

Daripada klip-klip yang dinyatakan di atas, dapat disimpulkan bahawa:
  • Keris dipakai dengan hulu menghadap kedalam atau menelangkup apabila mengadap Sultan yang punya darjat yang lebih tinggi, atau ketika di majlis keramaian di mana keris tidak dipakai dengan niat untuk bertarung atau menjalankan fungsinya sebagai senjata (lihat http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Erti_Hidup&pg=er_01.htm)
  • Keris dipakai dengan hulu menghadap keluar atau menelentang ketika hendak bertarung, atau untuk menunjukkan niat untuk menyerang mahupun berperang
  • Hanya Sultan yang punya kuasa ke atas rakyat jelatanya punya hak untuk memakai keris secara menelentang hulu ke hadapan sepanjang masa. Begitu jua dengan si pengantin lelaki pada hari persandingannya, di mana dia diangkat sebagai raja sehari dan oleh itu bisa memakai keris sebagaimana Raja memakainya.
Namun begitu, timbul jua keraguan di hati taktala melihat adat sedemikian tidak lagi dapat dilihat diamalkan oleh mereka yang dititah keistana taktala bintang dan darjah dikurniakan kepada para penerima oleh Sultan mahupun Yang Dipertuan Agong pada masa kini. Malah, ketika istiadat pertabalan yang gilang gemilang jua, budaya perkerisan tersebut masih tidak kelihatan.

Adakah kerana kuranya pengetahuan mereka terhadap budaya perkerisan?
Adakah kerana kesilapan pada pemahaman hamba tentang budaya perkerisan dalam filem2 di atas?
Adakah kesilapan dalam penggarapan budaya perkerisan di dalam filem2 tersebut?
Atau adakah budaya tersebut sudat tidak lagi relevan pada masa kini?
Mohon perkongsian daripada kalian semua, agar terjawab seribu pertanyaan yang bermain di minda.

Wallahualam.

Nota:

Terdapat sebuah talibun (puisi lama terdiri daripada 4, 16, 20 baris dan bersajak diakhirnya)yang menggariskan tatacara pemakaian keris seperti berikut :


Kalau memakai keris

Keris tersisip sebelah kiri
Keris beradat berlembaga
Kalau memakai keris telentang
Itu tanda mencari lawan
Bagai ayam kokok berdentang
Bagai hulubalang masuk gelanggang
Elok dipakai ditengah hutan
Atau belayar tengah laut
Untuk menjaga jaga diri
Kalau keris sampir terlungkup
Keris tidak mencari lawan
Keris tidak mencari musuh
Yang dipakai dalam jamuan
Yang dipakai pergi bertandang
Berbelit punca wali
Berselubung sampai kehulu
Tanda beradat berketurunan
Patut disebut keris terap

(Karya Tenas Effendy, seorang budayawan dan sasterawan Melayu dari Riau. Sila lihat pautan untuk biodata lanjut beliau <https://id.wikipedia.org/wiki/Tenas_Effendy>)