"DALAM LEMBUT BERSENI ADA KERAS TAK TERPERI, DALAM KERASNYA PULA ADA LEMBUT BERSENI, PETANDA SOPAN SANTUN BANGSA BERBUDI"

Jumaat, 10 Jun 2011

Artikel: Taming Sari Bukan Replika

Assalamualaikum. Suka saya untuk berkongsi satu artikel yang menarik bersama anda semua. Pasti anda akan teruja!


Namun, harus diingatkan bahawa sebagai muslim, kita tidak sewajarnya mempercayai dan meyakini kepada kesaktian dan keajaiban untuk melindungi diri. Ingatlah bahawa hanya Allahlah sebaik-baik pelindung. Dan ingatlah jua balasan apa yang menanti di sana bagi mereka yang menyekutukanNya.


Menggunakan khidmat jin untuk memberikan kesaktian dan keajaiban sudah terang-terangan merupakan satu syirik. Terdapat golongan juga, terutamanya para empu (tukang keris) yang merasakan bahawa matlamat mereka menempa keris dengan syarat-syarat atau upacara yang tertentu (hanya menempa pada malam Jumaat, atau mengamalkan zikir-zikir tertentu semesa kerja-kerja menempa keris) adalah salah satu cara untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah S.W.T. Namun, ini juga merupakan salah satu bentuk syirik sebagaimana dalam firmanNya dalam Surah Az-Zumar, ayat ke-3:


[Ingatlah! Hanya milik Allah agama yang murni (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Dia (berkata) "Kami tidak menyembah mereka melainkan (berharap) agar mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya." Sungguh, Allah akan memberi putusan di antara mereka tentang apa yang yang mereka perselisihkan. Sungguh, Allah tidak memberi petunjuk kepada pendusta dan orang yang sangat ingkar.]


Dan, ingatlah jua rakan-rakan sekalian akan firman Allah dalam Surah An-Nisa, ayat ke-116:


[Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni dosa selain itu bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sungguh, dia telah tersesat jauh sekali.]




Taming Sari Bukan Replika

Oleh Nurhayati Abllah
Berita Harian 30 Mei 2011. Nasional. Ms 10



<span class=


KERIS Taming Sari dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar selama enam hari bermula semalam sempena Hari Keputeraan Sultan Perak yang ke-83.

Keris kebesaran Diraja Perak diwarisi dari Sultan Melaka sejak 1528

KUALA KANGSAR: Muzium Perak menolak dakwaan mengatakan Keris Taming Sari iaitu satu daripada alat kebesaran Diraja Perak yang dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, di sini, adalah palsu atau replika.

Pengarah Muzium Perak yang juga pengurus galeri berkenaan, Nor Janati Ibrahim, berkata pihaknya sering menerima dakwaan sedemikian berikutan ada di kalangan pengunjung meragui keaslian keris itu.

“Keris Taming Sari dipamerkan di galeri ini adalah simpanan dan warisan Sultan Perak. Jadi ia menjadi satu daripada alat kebesaran Diraja negeri ini. Malah, senjata itu hanya boleh dipamerkan kepada umum selepas mendapat perkenan daripada Baginda Sultan Perak sempena Hari Keputeraan baginda.

“Lagipun keris berkenaan sudah menjadi hak Kesultanan Perak yang sah sejak 1528 selepas diwariskan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah I kepada Sultan Perak pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini, semalam.

Nor Janati berkata, mengenai ketulenan atau keaslian keris berkenaan masih dalam kajian berterusan dilakukan pihak berkaitan, tetapi yang penting Muzium Perak tetap mengatakan Keris Taming Sari ialah satu daripada alat kebesaran Diraja Perak.

“Kebanyakan tohmahan timbul disebabkan generasi hari ini terlalu terdedah dengan maklumat atau fakta diperoleh daripada pelbagai sumber kurang tepat. Mereka hanya mendengar maklumat daripada sebelah pihak tanpa mengkaji sendiri sejarah sebenar Keris Taming Sari serta warisan alat kebesaran diraja itu.

“Justeru, Muzium Perak dengan perkenan Tuanku (Sultan Perak) mengadakan pameran Keris Taming Sari di Galeri Sultan Azlan Shah selama enam hari bermula hari ini (semalam) sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-83.
“Ia bertujuan memberi pendedahan serta gambaran sebenar mengenai keistimewaan keris yang pernah menjadi milik Laksamana Hang Tuah itu,” katanya.

Keris berkenaan yang diseliputi dedaun emas, manakala sarung atau hulunya diperbuat daripada emas serta dipercayai adunan daripada 20 jenis besi yang sebahagiannya daripada serpihan besi ganggang pintu Kaabah.

Senjata itu dikatakan mempunyai kuasa sakti iaitu pemiliknya tidak lut dimakan senjata lawan dan berupaya berlegar di udara ketika mengejar musuh. Selain itu, ia juga dipercayai mempunyai kuasa untuk memberi petunjuk jika Perak bakal dilanda sebarang musibah atau bencana.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan