"DALAM LEMBUT BERSENI ADA KERAS TAK TERPERI, DALAM KERASNYA PULA ADA LEMBUT BERSENI, PETANDA SOPAN SANTUN BANGSA BERBUDI"

Ahad, 13 Februari 2011


Anatomi Keris

Secara amnya, bahagian-bahagian yang terdapat pada sesebilah keris boleh dibahagikan kepada:
· Hulu atau ukiran*
· Mendak* dan selut*
· Bilah* atau mata keris
· Sarung

*Istilah yang digunakan di tanah Jawa


Foto 2.1: Bahagian-bahagian sebilah keris Surakarta

Hulu

· Merupakan bahagian pemegang keris yang biasanya berbentuk seperti bahagian pemegang pistol
· Diperbuat daripada bahan-bahan seperti kayu, gading dan kadang-kadang, emas bagi kerabat diraja dan istana
· Seni ukirannya berbentuk seakan-akan manusia, binatang (terutamanya burung), raksasa, watak wayang kulit dan abstrak
· Seni ukiran yang terdapat pada hulu sering digunakan untuk menentukan asal usul sesebilah keris. Contohnya, keris-keris Semenanjung terkenal dengan hulu yang berbentuk abstrak yang dikenali sebagai Jawa Demam kerana bentuknya yang menyerupai seorang jawa yang bercangkung dan berpeluk tubuh kerana demam. Keris Madura pula terkenal dengan hulu yang diukir dengan motif flora, manakala keris Bali pula terkenal dengan hulu yang berbentuk dewa-dewi Hindu. Bentuk yang lebih unik dapat dilihat pada Keris Pekaka dan Keris Tajong (dari Selatan Thai) yang bermotifkan watak dalam wayang kulit
· Dikatakan bahawa hulu keris pada awal penciptaanya adalah berbentuk seperti manusia, haiwan, raksasa malah ada juga yang menerapkan unsur-unsur Hindu. Namun setelah kedatangan agama Islam yang menghalang umatnya menyimpan ukiran yang menggambarkan bentuk manusia dan haiwan, apatah lagi yang berunsurkan agama lain. Maka, bentuknya telah berevolusi kepada yang lebih abstrak terutamanya di Sumatera, Semenanjung Malaysia, Yogyakarta dan Surakarta (atau Solo). Namun, bagi kawasan dengan majoriti penduduknya beragama Hindu, bentuk ukiran asal hulu masih dikekalkan hingga ke hari ini


Foto 2.2: Hulu Jawa Demam yang sering

terdapat pada keris Semenanjung


Foto 2.3: Hulu gaya Madura dengan ukiran bermotifkan flora


Foto 2.4: Hulu gaya Madura

Foto 2.5: Keris Pendek Diraja, sala satu daripada alat kebesaran Seri Paduka
Baginda Yang Dipertuan Agong. Keris ini ialah jenis keris tajong, berhulu gaya pekaka

Foto 2.6: Keris Jogjakarta. Perhatikan hulunya yang
diukir dengan motif yang abstrak

Foto 2.7: Hulu gaya Surakarta (Solo). Perhatikan perbezaan bentuk antara hulu keris solo dengan keris jogjakarta dalam foto 2.6


Foto 2.8: Hulu Keris Bali yang masih kuat pengaruh Hindunya


Foto 2.9: Hulu Keris Bugis yang seakan-akan sama dengan
Hulu Jawa DemamKeris Semenanjung, cuma lebih panjang dan membengkok


Selut dan Mendak

· Ini adalah bahagian berbentuk cincin yang terletak antara hulu dan mata keris bertujuan untuk mengukuhkan genggaman tangan pada keris, selain sebagai hiasan yang menjadi simbol status pemakainya
· Selut adalah bahagian yang dekat dengan hulu yang berbentuk seperti cincin manakala mendak adalah bahagian yang dekat dengan mata keris yang berbentuk seperti cangkir
· Kebiasaanya, hanya keris-keris Jawa sahaja yang mempunyai selut dan mendak, manakala keris-keris daripada lokaliti lain samada hanya mempunyai mendak atau tiada kedua-keduanya.
· Di semenanjung Malaysia, mendak dikenali dengan nama pendongkok
· Mendak yang biasa terdapat pada keris Semenanjung dikenali sebagai Mendak Melaka. Keris Bugis dan Sulawesi pula terkenal dengan mendak yang lebar dan tebal
· Keris yang digunakan sebagai simbol status sering mempunyai mendak dan selut yang dihiasi manikam yang berwarna-warni

Foto2.10: Kepelbagaian jenis mendak


Foto 2.11: Salah satu reka bentuk selut yang unik


Foto 2.12: Perhatikan mendak yang lebar dan tebal pada keris Bugis ini


Bilah/Mata Keris

· Biasanya terdapat dua jenis bilah, samada lurus atau berlok (berkeluk-keluk)
Terdapat pelbagai jenis Dapur untuk keris (istilah yang digunakan untuk merujuk kepada bentuk, ukiran serta pahatan pada mata keris)
· Contoh dapur: 1. Sepukal (keris lurus, tidak berlok)
2. Sempana (3, 5 atau 7 lok)
3. Cherita (9-15 lok)
4. Lemona ( 19 lok atau lebih)
5. Nagasastra – Keris berlok 13 dengan ukiran kepala naga pada bahagian pangkal mata keris, manakala badan naga tersebut berkeluk-keluk mengikut lok di tengah keris hingga ke hujung
· Pada mata keris juga, kelihatan corak yang pelbagai yang terhasil daripada pahatan pelbagai jenis besi. Corak ini dikenali sebagai pamor. Tidak akan ada dua keris yang mempunyai pamor yang benar-benar sama. Maka, bolehlah dikatakan bahawa pamor keris ini ibarat cap jari manusia yang memberikan identiti yang tersendiri kepada sesebilah keris itu
· Bagi sesetengah individu, terutamanya di tanah jawa, di mana unsur-unsur mistik dan spiritual keris masih lagi kuat dalam jiwa dan sanubari mereka, tuah atau sial sesebilah keris itu terzahir pada pamornya. Namun, sebagai seorang muslim yang benar-benar mengenali Penciptanya, mestilah yakin akan kita bahawa tiada istilah tuah dan sial, tetapi segala-galanya adalah ketentuan dan kehendakNya jua

· Namun, ada jua keris yang tidak berpamor, dan keris sedemikian dikenali sebagai keris melela


Foto 2.13: Keris dengan pamor kulit semangka

(kulit tembikai), dapur sempana

Sarung

· Secara amnya, di semenanjung Malaysia, keris terdiri daripada dua bahagian, yakni sampir dan batang
· Sampir ialah bahagian atas yang melintang, seringkali berbentuk seperti sampan. Manakala batang ialah bahagian yang melurus ke bawah, yang diselitkan ke dalam sampin
· Di tanah jawa, istilah warangka digunakan untuk sampir dan gandar pula bagi batang
· Sesetengah keris juga memiliki apa yang dinamakan sebagai buntut keris, iaitu bahagian hujung batang sarung, terutamanya keris Bugis atau Sulawesi yang mempunyai buntut sarung yang berbentuk seakan kapak
· Satu lagi keunikan yang ada pada sarung keris Bugis dan Sulawesi ialah batir-batir dan tuli-tuli yang merupakan tali untuk mengikat keris pada pinggang si pemakai
· Bagi keris di tanah jawa, seringkali dapat dilihat sejenis sarung logam yang disarungkan pada batang keris. Sarung ini dikenali sebagai pendok, yang terdapat dalam pelbagai jenis rupa dan bentuk.


Foto 2.14: Sebilah keris gaya Yogyakarta dengan

batangnya disarungkan dengan pendok yang indah buatannya


Foto 2.17: Pelbagai jenis pendok

Rujukan:
Datuk Shahrum Bin Yub. (1967). Keris dan senjata-senjata pendek. http://www.margajebat.org/keris_1.html